
KANGAR: Kerjasama semua pihak khususnya orang ramai amat diperlukan bagi menjaga dan melindungi Banjaran Nakawan yang menjadi antara habitat beruk kentui.
Banjaran Nakawan ialah banjaran bukit karstik yang menganjur sepanjang sempadan Malaysia-Thailand antara Perlis dan wilayah Satun kira-kira 36 km.
Presiden Persatuan Ekologi Malaysia (PEM) Profesor Dr Ahmad Ismail berkata usaha bersama itu diperlukan bagi menjamin kestabilan dan kelestarian flora, fauna serta ekologi spesies primat itu.
“Terdapat kawasan hutan yang sensitif dan ia mesti dilindungi sepenuhnya dan ada juga kawasan yang boleh digunakan untuk ekopelancongan,” katanya ketika dihubungi Bernama baru-baru ini.
Beliau berkata kerajaan negeri serta agensi berkaitan perlu memainkan peranan untuk meningkatkan kawalan dan menjalankan program pendidikan agar habitat beruk kentui sentiasa dipelihara.
Pengasas Perlis Nature and Wildlife (PNW) Syamil Abd Rahman pula mencadangkan usaha penguatkuasaan dipertingkatkan supaya masyarakat lebih memahami dan mencintai khazanah hutan.
Katanya, kempen kesedaran perlu diberikan kepada pemilik dusun di kawasan yang menjadi habitat beruk kentui.
Beliau turut menyarankan agar pihak berwajib melakukan pemeriksaan terhadap papan-papan tanda kawasan lintasan bagi hidupan liar dan mewartakan habitat beruk kentui sebagai rizab hidupan liar.
Selain itu, Syamil berkata perlu ada usaha untuk menyalurkan maklumat kepada orang ramai khususnya pemilik dusun agar tidak menebang pokok ara yang menjadi sumber makanan beruk kentui.
Katanya, mengikut kajian oleh sekumpulan penyelidik dari sebuah universiti tempatan bertajuk Komposisi Diet Beruk Kentui (Macaca arctoides) di Taman Negeri Perlis, menggunakan pendekatan Metabarcoding DNA pada 2020 mendapati, pokok ara merupakan antara makanan utama bagi haiwan itu.
Beliau berkata daripada kajian yang dilakukan sebanyak 145 spesies tumbuhan telah berjaya dikenal pasti sebagai makanan beruk kentui dan 11.70 peratus DNA didapati terdiri daripada pokok ara. – BERNAMA











