
KOTA BHARU: Perkhidmatan bas percuma kepada pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang akan pulang menunaikan tanggungjawab pada Pilihan Raya Negeri (PRN) hanya terhad kepada 15,000 orang.
Jurucakap Pejabat Pembangunan Negeri berkata, kelulusan permohonan tersebut berdasarkan kepada `siapa cepat dia dapat’ atau sehingga mencapai jumlah yang ditetapkan.
Menurutnya, pergerakan pulang 2,500 pelajar untuk sehari akan bermula pada 6 Ogos hingga 11 Ogos, manakala perjalanan balik ke kampus bermula 13 Ogos sehingga 18 Ogos.
Bagi mahasiswa dan mahasiswi IPT Sabah dan Sarawak, katanya perkhidmatan tersebut hanya disediakan dari Kuala Lumpur.
“Bagi urusan pendaftaran, kerajaan negeri menyediakan dua kod QR membabitkan perjalanan pulang dan balik ke destinasi untuk diisi dalam bentuk ‘Google Form’ yang dibuka sehingga 17 Julai,” katanya di sini, hari ini.
Beliau berkata, tiket bas hanya akan diberikan secara percuma kepada pemohon yang mengemukakan dokumen asal kad pengenalan, kad pelajar dan dokumen pengesahan pemilih di Kelantan.
“Bilangan penumpang bas mengikut hari, jika jumlah penumpang mencapai jumlah maksimum, pihak urusetia berhak menentukan tarikh lain selain daripada yang dimohon pelajar.
“Senarai pemohon yang berjaya dan pengambilan tiket bas, akan dipamerkan di laman sesawang rasmi kerajaan negeri www.kelantan.gov.my bermula 27 Julai,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Ogos sebagai hari pengundian bagi enam PRN di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan.
Tarikh penamaan calon pula ditetapkan pada 29 Julai dan tempoh kempen ditetapkan 14 hari, manakala bagi pengundian awal tarikh ditetapkan pada 8 Ogos. – HARAKAHDAILY 12/7/2023











