
KUALA LUMPUR: Penggunaan tanah di tapak pelupusan sampah di Pekan Nenas, Pontian dan Jemaluang, Johor yang sudah mencapai tahap maksimum menyebabkan Senator Datuk Teo Eng Tee membangkitkan isu itu di Dewan Negara, hari ini.
Eng Tee berpandangan bahawa Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan wajar mempunyai perancangan bagi menangani isu itu.
“Tapak pelupusan sampah di Johor seperti di Pekan Nenas, Pontian dan Jemaluang, sudah mencapai tahap maksimum penggunaan tanah, jadi apakah rancangan kementerian terhadap masalah ini,” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan.
Pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan itu, beliau turut menzahirkan ucapan penghargaan kepada kementerian kerana berjaya mengutip 90 tan sampah di Taman Tun Aminah, Skudai, Johor.
“Tahniah kepada Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan kerana berjaya turun padang bersama kakitangan mengutip 90 tan sampah dari 88 blok rumah pangsa dalam sehari di Taman Tun Aminah.
“Namun atas peringatan dan nasihat Baginda Sultan Johor, apakah rancangan kementerian untuk menjamin masalah ini tidak berulang sedangkan isu ini adalah kerana kegagalan kutipan yuran pengurusan rumah pangsa,” katanya.
Timbalan Menterinya, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, perkara yang dibangkitkan itu sedang dalam perhatian kementerian.
“Tapak pelupusan sampah yang dikatakan akan penuh ini antara tapak pelupusan sampah yang kita legasi pada tahun 2007 menggunakan Akta 672, iaitu tapak pelupusan bukan sanitari.
“Selepas 2007, pendekatan yang jabatan laksanakan adalah untuk mana-mana tapak pelupusan sampah yang baharu, mesti berbentuk sanitari. Sebagai contoh di selatan Johor seperti di Silong dan bahagian tengah di Bukit Payung,” katanya.
Mengikut soalan asal, Eng Tee meminta kementerian menyatakan adakah kementerian mempunyai sebarang perancangan baharu untuk menambah baik sistem pelupusan sisa pepejal di Malaysia. – HARAKAHDAILY 27/6/2023.




















