Perluaskan ESG dalam operasi syarikat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Senator Hussin Ismail meminta kerajaan memperkasakan inisiatif Alam Sekitar, Sosial dan Urus Tadbir (ESG) bagi merancakkan sektor pelaburan di negara ini.

Beliau turut meminta kerajaan menyatakan jumlah syarikat tempatan yang telah melaksanakan ESG sebagai agenda global.

- Advertisement -

Katanya, inisiatif itu tidak hanya membabitkan pelaburan asing dan domestik baharu, tetapi mengukuhkan pelaburan daripada syarikat sedia ada.

“Saya minta Menteri Ekonomi menyatakan berapakah bilangan syarikat tempatan yang telah melaksanakan dan melaporkan inisiatif ESG sehingga kini,” katanya ketika sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Negara, hari ini.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli ketika menjawab soalan itu berkata, agenda tersebut mula diberi perhatian oleh kerajaan dalam Rancangan Malaysia Ke-12.

Beliau berkata, usaha itu bagi menggalakkan pelabur melaksanakan ESG dalam amalan perniagaan bagi memastikan aktiviti ekonomi lebih mampan kepada alam sekitar, sosial dan urus tadbir.

Malah, kerajaan menyarankan sektor swasta supaya mengutamakan ESG bagi menyokong agenda ekonomi hijau yang akan meningkatkan tahap daya saing syarikat tempatan dalam pasaran global.

“Namun demikian, pelaksanaan dan pelaporan amalan ESG oleh syarikat di Malaysia pada masa ini adalah bersifat sukarela.

“Syarikat Awam Tersenarai (PLC) di Bursa Malaysia digalakkan untuk melaporkan perniagaan mematuhi ESG dan laporan ini akan dikuatkuasakan kepada semua PLC pada tahun depan,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/6/2023

- Advertisement -