
KUALA LUMPUR: Senator Jaziri Alkaf Abdillah Suffian meminta kerajaan menangani persepsi salah ibu-bapa terhadap Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) yang dilabelkan sebagai buruh kasar.
“Sebahagian daripada kekangan yang saya rasa, ada dalam kalangan penjaga dan ibu-bapa melihat anak-anak yang melakukan amali (TVET) adalah sebagai buruh kasar, walaupun hasratnya amat berguna untuk pembangunan kemahiran murid tersebut.
“Oleh demikian, adakah kementerian atau sekolah itu sendiri mempunyai intervensi untuk menangani situasi ini?” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Negara, hari ini.
Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying, ketika menjawab persoalan ini, mengakui terdapat ramai ibu-bapa melabelkan TVET demikian.
“Kita akan buat libat urus dengan ibu-bapa bagaimana untuk memastikan bahawa TVET dapat membantu murid kerana tidak semua murid akan cemerlang dalam bidang akademik.
“Ini juga peluang untuk murid-murid yang minat dari segi TVET bagi menceburi dalam bidang ini. Maka, kementerian akan buat banyak libat urus bersama ibu bapa dan murid bagi menerangkan program (TVET) ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/6/2023




















