
KUALA LUMPUR: Pihak berkuasa agama negeri perlu bersama-sama membantu menangani masalah hutang yang menjadi antara punca utama peningkatan kes bunuh diri dalam masyarakat hari ini.
Senator Hussin Ismail berkata, hasrat itu dapat dilaksanakan menerusi bantuan menyelesaikan hutang yang disediakan oleh agensi kerajaan yang bertanggungjawab menguruskan wang zakat.
Beliau berkata, negara menyaksikan banyak kes bunuh diri membabitkan hutang, malah dengan peningkatan kos sara hidup rakyat sekarang, jumlah kes terbabit semakin meningkat.
“Salah satu penyelesaiannya ialah bendung dari sudut dokongan masyarakat dalam Islam, Islam ada penyelesaian iaitu zakat contohnya 1/8 daripada zakat adalah membayar hutang.
“Menyelesaikan isu hutang, nilai zakat di negara kita ini bukan sedikit, jadi mungkiin institusi berkenaan boleh membantu sama juga dokongan wakaf sedekah untuk menyelesaikannya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Kanun Keseksaan (Pindaan) 2023 di Dewan Negara, hari ini.
Selain itu, Husin berkata, antara perkara yang perlu ditambah baik dalam pindaan tersebut ialah mengharamkan penggunaan alkohol walaupun pengambilan bahan itu tidak melibatkan bunuh diri.
Sehingga kini, katanya kerajaan hanya mengharamkan penggunaan semua kategori dadah, bahkan kesalahan tersebut turut membabitkan hukuman gantung sampai mati.
Bagi membendung budaya bunuh diri daripada terus menular dalam komuniti, katanya peranan media massa, institusi pendidikan serta sokongan masyarakat amat diperlukan.
“Di samping itu, ramai mengakui bahawa antara punca bunuh diri ialah penyalahgunaan dadah dan alkohol, dadah kita haramkan tetapi alkohol tidak haram, alkohol bunuh orang secara tidak sengaja.
“Banyak kes kemalangan yang dilaporkan dalam media massa berkaitan penggunaan alkohol, mabuk…tetapi alkohol ramai yang sayang, perkara ini harus diambil kira dalam penyelesaian,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/6/2023




















