
KUANTAN: Kegigihan 25 orang peserta mendaki tangga tiga tingkat Kolej Universiti Widad membuktikan kesungguhan mereka untuk menggilap bakat menulis di Bengkel Penulisan Terlatih Wartawan Rakyat Pahang di sini, hari ini.
Bengkel penulisan kali kelima yang dianjurkan oleh Jabatan Penerangan PAS Negeri (Japen) Pahang itu telah disertai oleh para wartawan rakyat yang hadir dari seluruh negeri.
“Saya rasa bertuah dapat join program ni walaupun dah pernah mengikuti bengkel seperti ini sebelum ni tapi nak improve lagi kemahiran.
“Tingginya tangga Kolej Widad ni tak menghalang saya untuk hadir bersama sampai ke tingkat tiga bilik bengkel ini. Terima kasih kepada penganjur,” ujar Faridah Kamaruddin yang mencecah usia 60 tahun.
Shahrom Othman pula berkata, hasrat untuk ke Ijtimak Tarbawi Dewan Pemuda PAS Malaysia tidak tertunai kerana turut diadakan pada hari yang sama hari ini.
Namun beliau merasa sangat bersyukur kerana dapat hadir menuntut ilmu penulisan di bengkel itu mewakili sahabat-sahabat wartawan lain dari Jerantut yang tidak dapat hadir.
Raduan Mohamed dari Kuala Lipis melahirkan rasa gembira dapat menghadiri bengkel separuh hari itu.
“Saya rasa gembira akhirnya dapat juga hadir ke bengkel ni. Pada asalnya, saya hampir tak jadi hadir sebab tinggal jauh di Lipis.
“Kalau saya nak hadir juga, kena bertolak jam 5.00 pagi dari sana.
“Bila saya tanya kepada pimpinan PAS kawasan, Alhamdulillah mereka tempah hotel untuk kami peserta dari Lipis menginap,” ujarnya.
Majlis penutup dirasmikan oleh Ketua Penerangan PAS Pahang, Ustaz Mohd Tarmizi Yahaya.

Ustaz Tarmizi yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Panching turut menyampaikan Anugerah Subky Latif kepada wartawan rakyat Pahang, Habsah Ali.
Tiga peserta yang berjaya menghasilkan berita pada bengkel itu iaitu Nurussolehah Yusof, Mu’izzuddin Harun dan Yusra Syatirah Yusabri juga menerima penghargaan daripada penganjur.
Bengkel itu dikendalikan Pengarang 1 Harakahdaily, Azmi Yusof. – HARAKAHDAILY 17/6/2023











