
SHAH ALAM: Kalimah Allah adalah perkataan berasal daripada Bahasa Arab yang tidak dapat diterjemahkan ke dalam bahasa lain, demikian kata Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.
Jelas beliau, sekiranya tetap cuba diterjemahkan dalam bahasa lain, ia akan membawa makna tidak betul terhadap rangkuman kesempurnaan Allah dan yang tidak ada tandingan selain-Nya.
Beliau menyampaikan Kuliah Tafsir Surah Al-Fatihah dalam slot ‘Fikrah Murabbi’ pada Ijtimak Tarbawi 9.0 Dewan Pemuda PAS Malaysia di i-City Convention Centre (ICCC), di sini sebentar tadi.
“Yang layak disembah, tak ada tuhan melainkan Dia saja, tak ada hukum melainkan dia sahaja. Tak boleh diabdikan diri, melainkan kepada Allah sahaja. Orang bukan Islam, dia sebut Allah, tapi dia ‘lantik’ berhala, lantik patung, lantik (Nabi) Isa (AS) anak tuhan.
“Lantik tuhan-tuhan yang lain daripada Allah. Itu salah. Tak betul dengan makna asal Allah itu. Bila Allah, Dia saja tuhan. Daripada perkataan ‘Al’ jadi Allah. Dia saja tuhan. Tak ada tuhan yang lain.
“Yang disebut dalam ‘lailahaillallah’, Tak ada tuhan yang sebenar melainkan Allah. Tak ada peraturan melainkan peraturan Allah. Semua patuh pada Allah Taala, tunduk kepada-Nya,” ujarnya.
Beliau mengimbas sirah Rasulullah SAW di mana Arab Quraisy yang menyebut Allah juga tetapi enggan menerima penyaksian kalimah tauhid dan bersama Nabi untuk mendapatkan Islam.
Bahkan beritahu beliau sebagaimana juga telah dilalui sejak Nabi Muhammad bahawa kalimah tersebut adalah paling dibenci dan dimusuhi raja-raja dan para pemerintah dunia.
Tuan Guru juga memberitahu mengenai kepercayaan dan sebutan kalimah Allah oleh agama lain, namun mereka dalam masa sama mempunyai kepercayaan kepada tuhan-tuhan lain.
Oleh itu beliau mengingatkan pentingnya juga mendalami pengajian berkenaan akidah tauhid serta mengkaji asma’ iaitu nama-nama Allah dan sifat-Nya. – HARAKAHDAILY 17/6/2023




















