Doktor pakar ‘jual bayi’: Keseriusan kerajaan dituntut

- Advertisement -

SAYA menuntut keseriusan Kementerian dalam menangani isu doktor pakar swasta yang menggunakan kepakarannya untuk berkomplot dengan sindiket penjualan bayi. 

Isu ini wajar diambil tindakan serius kerana ia bukan sahaja melibatkan isu penjualan dan pembelian bayi secara haram bahkan ia turut melibatkan isu status kewarganegaraan yang diberikan oleh pihak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kepada bayi tersebut.

Hal ini kerana, dokumen palsu yang dikeluarkan oleh doktor pakar yang terlibat membolehkan pihak JPN memberikan kewarganegaraan kepada bayi tersebut sedangkan mereka tidak layak untuk mendapatkan kewarganegaraan kerana statusnya yang tidak sah taraf mahupun disebabkan oleh bayi pendatang asing. 

Oleh itu, satu prosedur yang lebih ketat dan terkawal wajar dikeluarkan terutama kepada ibu bapa yang ingin mendaftar bayi mereka melalui pengesahan klinik swasta. Jika isu ini tidak diatasi secepat mungkin, tidak mustahil hak kewarganegaraan yang diberikan kepada mereka yang tidak sah taraf akan semakin bertambah sekali gus semakin sukar untuk ditangani. 

Justeru, langkah proaktif pihak kementerian bagi menggerakkan operasi yang menyeluruh dalam membanteras isu ini dituntut secepat mungkin selain segera mewujudkan prosedur yang lebih sistematik yang mampu menapis maklumat yang benar-benar sahih dalam memastikan pendaftaran bayi yang dibuat adalah kepada bayi yang layak menjadi warganegara Malaysia sahaja.

“Malaysia Sejahtera”

YB SHAHARIZUKIRNAIN ABDUL KADIR
Ahli Parlimen Setiu – HARAKAHDAILY 15/6/2023

- Advertisement -
- Advertisement -