
KUALA LUMPUR: Fenomena El Nino yang berisiko memberi kesan terhadap bekalan makanan negara, terutama padi menyebabkan Nurul Amin Hamid (PN-Padang Terap) berpandangan wujud keperluan menubuhkan dana khas untuk membantu petani.
Sehubungan itu, beliau meminta kerajaan menyatakan pendirian berhubung penubuhan dana khas itu.
Nurul Amin juga ingin tahu status pasukan khas untuk memantau kesan El Nino yang diumumkan oleh Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Chan Foong Hin, bulan lepas.
“Saya ingin tahu, siapakah yang dilantik mengetuai jawatankuasa khas atau pasukan khas untuk memantau kesan El Nino?
Beliau berkata demikian semasa mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Sementara itu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, kementeriannya masih belum memikirkan penubuhan dana khas kepada petani yang terjejas akibat fenomena El Nino.
“Untuk dana khas, kita belum lagi sampai ke peringkat itu. Tapi kalau perlu, kita akan bincang bersama Kementerian Ekonomi, Kementerian Kewangan dan kementerian lain kalau ada peruntukan jika gejala El Nino berlaku secara serius. Ini yang kita sedang fikirkan.
“Kita akan bincang dan bawa dalam mesyuarat kementerian. Pandangan YB Padang Terap diambil kira dalam hal menghadapi El Nino ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/6/2023




















