Dasar MBI jadikan Kerajaan Kelantan berintegriti

Rekod cemerlang pemerintahan 33 tahun bersih dari rasuah

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kelantan berjaya mengekalkan rekod cemerlang pentadbiran kerajaan yang berintegriti selama 33 tahun adalah kerana menjadikan ‘Membangun Bersama Islam’ (MBI) sebagai dasar pemerintahannya.

Timbalan Menteri Besar, Dato’ Mohd Amar Nik Abdullah berkata, dasar tersebut telah diperkenalkan sejak tahun 1990 oleh Almarhum Tan Sri Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat selaku Menteri Besar.

Jelas beliau, dasar itu menjadi kekuatan dan pengawal kepada tindakan serta perbuatan para pentadbir dan juga kakitangan kerajaan hingga tiada yang pernah dituduh atau dibawa ke mahkamah atas isu rasuah dan salah guna kuasa.

Beliau berkata demikian ketika ditemubual dalam rancangan 45 Minit Bersama DNA: 33 Tahun Integriti Dipertahan yang disiarkan secara langsung di KelantanTV, malam tadi.

“Integriti ini adalah isu yang besar dan utama dalam mana-mana pentadbiran. Bahkan dari segi politik, kalau kita tengok ukuran ataupun kayu ukur digunakan untuk menilai sesebuah kerajaan ataupun pentadbiran, adalah isu rasuah. 

“Dan indeks rasuah ini biasa dijadikan rujukan dan perhatian. Kerajaan yang baik ini ialah kerajaan yang sama ada dia tidak ada rasuah ataupun kadar rasuah itu rendah,” ujarnya memberitahu tiada ahli-ahli politik atau pentadbir utama Kelantan pernah terlibat.

Tuan Guru Nik Aziz sendiri kata beliau, menunjukkan contoh sebagai Menteri Besar yang bersih selama 23 tahun mentadbir dan diterus serta dipertahankan Menteri Besar, Dato’ Ustaz Ahmad Yakob kini.

Terang beliau, kemampuan kerajaan terus kekal dan bertahan adalah kerana berjaya meletakkan asas kukuh dasar MBI sejak era Tuan Guru Nik Aziz di mana ia difahami oleh penggubal dasar dan pegawai pelaksana.

“Ini membantu bila YAB Menteri Besar (Dato’ Ahmad Yakob) ini naik. Kefahaman (dasar MBI) yang sudah berkembang ini membantu. Dan YAB yang ada sekarang ini, dia boleh tumpukan kepada aspek pengisian sepenuhnya.

“Masa Tok Guru (dahulu) lebih kita kata kepada konsep, idea, kefahaman. Jadi bila YAB Menteri Besar ini naik, dia boleh mengukuhkan lagi dasar itu dengan program. Sebab itu dia merakyatkan ‘Membangun Bersama Islam’. 

“Sebab kita tengok di kalangan pentadbir ini, secara umumnya dasar ini sudah difahami dan dihayati. Jadi kita nak turun ke bawah lagi supaya lebih merata di kalangan rakyat. Sebab rakyat ini akan menentukan kejayaan ini. 

“Nilai-nilai inilah yang memberi kekuatan kepada kita sampai hari ini ini graf kita itu naik. Naik kerana hasil daripada dasar yang sudah kemas, dan kemudian kefahaman para pegawai itu, dan kerjasama sebagai satu pasukan,” ujarnya menghurai kekuatan bertahan 33 tahun.

Tambah beliau yang juga ADUN Panchor, selepas bermula dengan dasar, ia disusuli dengan program yang digerakkan di semua peringkat rakyat dan di premis-premis menerusi penubuhan Dakwah Halaqat.

Selain itu, Kelantan juga meningkatkan tumpuan kepada aspek pendidikan menerusi sekolah-sekolah Yayasan Islam Kelantan (YIK) yang memperkembangkan lagi dasar MBI dan pembinaan generasi.

Akui beliau, walaupun terdapat kelemahan, tetapi usaha-usaha yang dibuat telah mengukuhkan lagi dasar MBI di mana ia diterjemahkan dalam sikap, kerja buat dan kehidupan harian semua pihak di negeri ini.

Tambah beliau lagi, dengan Dasar Pendidikan Rabbani yang dilancarkan tahun 2018, ianya menjadi satu lagi orientasi yang memperkasakan pemahaman dan penghayatan rakyat terhadap dasar MBI.

Jelas beliau, fokus kepada pendidikan itu adalah pendekatan strategik iaitu membangunkan Kelantan menerusi pembangunan manusia yakni ke arah melahirkan masyarakat yang bertakwa. – HARAKAHDAILY 14/6/2023

- Advertisement -
- Advertisement -