
KOTA BHARU: PAS Kelantan berbincang dengan Bersatu bagi membolehkan dua kerusi yang sebelum ini secara asasnya diberi kepada Bersatu ditandingi calon PAS.
Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, perkara itu telah dibincangkan dengan Bersatu dan dipersetujui parti terbabit.
“Setakat ini Bersatu boleh bersetuju dengan cadangan kita iaitu dua kerusi tambahan diberikan kepada PAS dan Bersatu bertanding di enam kerusi lagi.
“Namun, keputusan akhir belum diputuskan lagi sama ada kerusi di Dun yang mana,” katanya ketika ditemui selepas sidang media pengisytiharan pembubaran Dun Kelantan, di Kota Darulnaim hari ini.
Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar berkata, dua daripada lapan kerusi yang dimenangi Umno pada Pilihan Raya Umum lepas diberikan kepada PAS.
Mohd Amar juga berkata, calon yang akan bertanding di setiap Dun akan diputuskan oleh parti masing-masing.
“Kita bincang pembahagian kerusi dengan Bersatu, manakala calon terserah pada parti masing-masing. Cuma asasnya kita akan pilih calon yang berpotensi boleh menang,” ujarnya.
Sementara itu, Pengerusi Bersatu Kelantan, Dato’ Kamaruddin Md Nor akur dengan pengagihan kerusi berkenaan.
“Saya sudah dimaklumkan perkara ini beberapa hari lalu, yang penting adalah kita menang di Kelantan bukannya berebut kerusi siapa yang banyak,” katanya ketika dihubungi.
Sebelum ini, Setiausaha PAS Kelantan Wan Roslan Wan Hamat berkata, PAS dan Bersatu bersetuju PAS mempertahankan 37 kerusi Dun yang ada sekarang dan lapan lagi kerusi ditandingi Bersatu. – HARAKAHDAILY 14/6/2023




















