Apa jaminan kes profil tinggi sedang dibicara tidak ditarik balik

Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang meminta Perdana Menteri menyatakan apakah jaminan kerajaan agar Peguam Negara tidak menarik balik kes profil tinggi yang sedang dibicarakan di mahkamah.

- Advertisement -

Ahli Parlimen Marang itu mengemukakan pertanyaan demikian pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Ahli-ahli Parlimen PERIKATAN NASIONAL yang mengemukakan soalan pada sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini sebagaimana di bawah.

Tuan Afnan Hamimi bin Taib Azamudden [Alor Setar] minta Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan menyatakan berapakah bilangan projek perumahan PR1MA yang masih belum berjaya diserahkan kepada pembeli dan nyatakan bilangannya di setiap negeri serta sebab ianya masih belum dapat diserahkan kepada pembeli.

Ir. Ts. Haji Khairil Nizam bin Khirudin [Jerantut] minta Menteri Kemajuan Desa Dan Wilayah menyatakan status jalan Sunga Lembing-Jerantut yang sepatutnya bermula pada tahun 2017, dengan anggaran kos sebanyak RM640 juta.

Puan Hajah Salamiah binti Mohd Nor [Temerloh] minta Menteri Pelancongan, Seni Dan Budaya menyatakan sejauh manakah penglibatan Kementerian bagi memajukan sukan bot air khususnya di Temerloh yang melibatkan penduduk tempatan dan mendapat sambutan daripada orang ramai.

Dato’ Khlir bin Mohd Nor [Ketereh] minta Menteri Pertahanan menyatakan apa perancangan Kementerian di dalam menentukan Veteran ATM mendapat kerjaya kedua dan berapa bilangan Veteran ATM yang masih mengganggur.

Tuan Ahmad Fadhli bin Shaari [Pasir Mas] minta Menteri Belia Dan Sukan menyatakan pelan jangka masa panjang Kementerian untuk meluaskan akses kepada kemudahan sukan dan rekreasi agar wujud keseimbangan kehidupan dan kerja rakyat dalam negara.

Tuan Hassan bin Saad [Baling] minta Perdana Menteri menyatakan usaha menaik taraf perkhidmatan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dari segi jumlah anggota, logistik serta elaun anggota sukarelawan.

Tuan Abdul Latiff bin Abdul Rahman [Kuala Krai] minta Menteri Kemajuan Desa Dan Wilayah menyatakan apakah peranan sebenar agensi-agensi di bawah Kementerian seperti KESEDAR, KEDA, KETENGAH dan lain-lain dalam memaju dan meningkatkan ekonomi serta sosial bagi memberi kesejahteraan kepada penduduk yang terlibat dan apakah Kementerian berpuas hati dengan peranan agensi berkenaan.

Tuan Zahari bin Kechik [Jeli] minta Menteri Pelancongan, Seni Dan Budaya menyatakan apakah pelan tindakan terkini Kementerian di dalam membantu mempromosikan kawasan pelancongan yang banyak terdapat di Kelantan.

Tuan Wan Ahmad Fayhsal bin Wan Ahmad Kamal [Machang] minta Menteri Kewangan menyatakan kriteria yang digunakan untuk memilih ahli-ahli politik sebagai Pengerusi, Ahli Lembaga atau Jawatan Eksekutif ke syarikat atau Agensi Berkaitan Kerajaan, syarikat atau Agensi Milik Kerajaan dan Badan Berkanun.

Dato’ Sri Tuan Ibrahim bin Tuan Man [Kubang Kerian] minta Perdana Menteri menyatakan:-

(a) jumlah kos yang dijangka dibelanjakan untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri; dan

(b) apakah Kerajaan akan memastikan kemudahan Kerajaan tidak disalahgunakan oleh parti pemerintah untuk tujuan kempen PRN kali ini.

Dato’ Hajah Mumtaz binti Md Nawi [Tumpat] minta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat menyatakan adakah pihak Kementerian bersedia mewajibkan kursus keibubapaan kepada semua ibu bapa dan penjaga kanak-kanak dan memasukkan silibus Pendidikan Keibubapaan dan keluarga dalam arus Pendidikan Negara dalam menjaga kebajikan kanak-kanak dan keluarga di Malaysia.

Dato’ Sri Ikmal Hisham bin Abdul Aziz [Tanah Merah] minta Menteri Kewangan menyatakan apa langkah yang dilakukan oleh kerajaan bagi mengurangkan beban rakyat khususnya peminjam berikutan kenaikan OPR.

Dato’ Seri Hamzah bin Zainudin [Larut] minta Menteri Kewangan menyatakan mekanisme terbaru bagi menangani beban subsidi minyak yang terpaksa ditanggung Kerajaan serta nyatakan apakah Kerajaan memiliki formula untuk menurunkan harga minyak dalam masa terdekat.

Tuan Fathul Huzir bin Ayob [Gerik  minta Menteri Pelancongan, Seni Dan Budaya menyatakan adakah terdapat usaha pihak Kerajaan untuk mewajibkan pengusaha pakej pelancongan membawa pelancong ke lokasi bersejarah tertentu atau lokasi kraftangan tempatan Malaysia sepertimana Pakej Pelancongan di China yang mewajibkan pelancong melawat produk tempatan seperti batu jed, produk daun teh China dan industri buluh negara itu.

Dato’ Seri Dr. Shahidan bin Kasim [Arau] minta Menteri Pertahanan menyatakan apakah usaha Kerajaan untuk menyelaraskan pencen veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Dr. Abd Ghani bin Ahmad [Jerlun  minta Perdana Menteri menyatakan apakah rasional Kerajaan Madani memilih enam (6) buah negeri sebagai lokasi Majlis Rumah Terbuka Aidil Fitri 2023 dan berapakah kos yang dibelanjakan mengikut negeri-negeri tersebut.

Dato’ Ahmad bin Saad @ Yahaya [Pokok Sena] minta Perdana Menteri menyatakan langkah memperhalusi semula bilangan anggota Dewan Negara supaya lebih seimbang di antara wakil Dewan Undangan Negeri dengan lantikan Yang di-Pertuan Agong.

Dato’ Hajah Mumtaz binti Md Nawi [Tumpat] minta Menteri Pengangkutan menyatakan tindakan Kementerian bagi membina satu terminal bersepadu stesen Kereta Api Wakaf Bharu yang sepadan dengan perkembangan semasa selari dengan perkembangan ECRL di Tumpat.

Dato’ Seri Hamzah bin Zainudin [Larut] minta Menteri Kewangan menyatakan langkah holistik yang telah dirangka bagi membantu rakyat khususnya golongan B40 yang terbeban dan tertekan dengan kenaikan terbaharu kadar OPR.

Datuk Seri Takiyuddin bin Hassan [Kota Bharu] minta Perdana Menteri menyatakan:-

(a) status terkini pencapaian Pelan Antirasuah Nasional (NACP 2019-2023) dan pelaksanaan 111 inisiatif yang ditetapkan; dan

(b) cadangan pembubaran Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Nasional.

Dato’ Hajah Siti Zailah binti Mohd Yusoff [Rantau Panjang] minta Perdana Menteri menyatakan status pemberian bantuan kepada mangsa banjir yang terjejas walaupun tidak berpindah ke Pusat Penempatan Sementara (PPS) khususnya di negeri Kelantan.

Tuan Zulkifli bin Ismail [Jasin] minta Perdana Menteri menyatakan sejauh mana penglibatan Menteri Agama melalui agensi dan jabatan yang berkaitan terlibat bekerjasama rapat untuk menjadi pemantau dan penasihat terutama bagi isu-isu nasional seperti alam sekitar di negara ini.

Dr. Hajah Halimah Ali [Kapar] minta Perdana Menteri menyatakan:-

(a) perancangan Kerajaan untuk mengatasi masalah Pendidikan Islam di kalangan pelajar memandangkan kekurangan sekolah agama di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur; dan

(b) apakah Kerajaan bercadang untuk menambahkan peruntukan bantuan per kapita untuk sekolah agama seluruh negara terutama sekolah KAFA.

Tuan Muhammad Fawwaz bin Mohamad Jan [Permatang Pauh] minta Perdana Menteri menyatakan apakah pendirian Kerajaan Madani terhadap pindaan dan pelaksanaan penelitian semula terhadap Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU 355 ini.

Kapten Dato’ Dr. Zulkafperi bin Hanapi (Bersara) [Tanjong Karang] minta Perdana Menteri menyatakan data lengkap keperluan kenaikan had persaraan sehingga umur 65 tahun, berikutan cadangan tersebut dilihat seakan membantutkan kenaikan pangkat bagi PTD yang sedang berkhidmat serta peluang kemasukan bakal pemohon pekerja perkhimatan awam lepasan graduan kolej dan universiti yang dilihat lebih “fresh” serta muda.

Tuan Zulkifli bin Ismail [Jasin] minta Perdana Menteri menyatakan berapa skor Indeks Syariah Malaysia mengikut lapan bidang utama yang dijadikan ukuran pematuhan Indeks Syariah Malaysia bermula tahun 2018- 2022.

Dato’ Haji Mohd Suhaimi bin Abdullah [Langkawi] minta Menteri Pelancongan, Seni Dan Budaya menyatakan apakah bentuk kerjasama dan kolaborasi Kerajaan merentas pihak berkepentingan termasuk agensi Kerajaan, swasta, badan bukan kerajaan (NGO) serta para penggiat industri untuk memastikan pembangunan ekopelancongan yang mampan dan berdaya saing.

Datuk Wira Hajah Mas Ermieyati binti Samsudin [Masjid Tanah] minta Perdana Menteri menyatakan berapa jumlah yang telah dibelanjakan untuk penjenamaan Kerajaan Madani sehingga hari ini, antaranya untuk ‘billboard’ (papan iklan) mega mempromosikan YAB Perdana Menteri yang telah muncul di seluruh negara serta perinciannya.

Tuan Hassan bin Saad [Baling] minta Menteri Kewangan menyatakan rancangan untuk merundingkan semula geran perkapita kepada negeri-negeri supaya selaras dengan peningkatan kos sara diri dan inflasi semasa.

Dato’ Hajah Siti Zailah binti Mohd Yusoff  [Rantau  Panjang] minta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga  Dan  Masyarakat menyatakan apakah inisiatif terkini Kementerian untuk mengekang jenayah seksual secara tersembunyi atau aktiviti sisi gelap dalam kalangan anak muda terutama melalui platform media sosial seperti Facebook dan Twitter.

Tuan Haji Mohd Hasnizan bin Harun [Hulu Selangor] minta Perdana Menteri menyatakan pendirian Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) tentang penggunaan vape yang memberikan kesan kepada kesihatan.

Tan Sri Dato’ Haji Mahiaddin bin Haji Mohd. Yassin [Pagoh] minta Menteri Kewangan menyatakan senarai terkini lantikan politik yang memegang jawatan pengerusi dan ahli lembaga pengarah di semua agensi Kerajaan, badan berkanun, perbadanan milik Kerajaan atau syarikat berkaitan Kerajaan (GLC) dan IPTA.

Dr. Abd Ghani bin Ahmad [Jerlun] minta Perdana Menteri menyatakan apakah pendirian Kerajaan untuk menambah bilangan Ahli Dewan Negara mewakili Dewan Undangan Negeri (DUN) kepada tiga (3) orang berdasarkan Perkara 45(4)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Ir. Ts. Haji Khairil Nizam bin Khirudin [Jerantut] minta Menteri Pengangkutan menyatakan adakah pihak Kerajaan bersetuju sekiranya tempoh pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (LKM) difleksibelkan agar lesen dapat diperbaharui tidak tertakluk kepada 6 ataupun 12 bulan sahaja, bagi meringankan pemandu e-hailing.

Dato’ Ahmad bin Saad @ Yahaya [Pokok Sena] minta Perdana Menteri menyatakan persiapan terkini pembentangan pindaan Akta 355 di Parlimen.

Datuk Wira Hajah Mas Ermieyati binti Samsudin [Masjid Tanah] minta Perdana Menteri menyatakan apakah prosedur standard bagi kenaikan pangkat penjawat awam terutama sekali bagi mereka yang dicadangkan bagi gred JUSA.

Dato’ Haji Mohd Suhaimi bin Abdullah [Langkawi] minta Menteri Pertahanan menyatakan pihak manakah yang menentukan harga sewaan gerai-gerai di Tapak Niaga sepanjang LIMA 2023 berlangsung, mengapa harga yang ditawarkan amat tinggi bagi peniaga-peniaga di Langkawi untuk mengambil bahagian.

Datuk Wan Saifulruddin bin Wan Jan [Tasek Gelugor] minta Menteri Kewangan menyatakan mengapa berlaku kelewatan meluluskan permohonan FSA2 KWSP dan apa langkah yang diambil oleh Kerajaan untuk membantu pencarum yang mempunyai dana yang besar dalam Akaun 1 KWSP tetapi tidak dapat mengeluarkannya kerana tidak dbenarkan oleh Kerajaan.

Tuan Haji Muhammad Islahuddin bin Abas [Mersing] minta Perdana Menteri menyatakan :-

(a) strategi terkini Kerajaan dalam usaha memperkasa mutu pendidikan tahfiz selaras dengan Pelan Tindakan Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN) 2.0 yang dilancarkan baru-baru ini; dan

(b) perincian penuh peruntukan dan nilai sumbangan yang disalurkan oleh Kerajaan kepada institusi-institusi tahfiz yang berdaftar dan tidak berdaftar.

Tan Sri Haji Abdul Hadi bin Awang [Marang] minta Perdana Menteri menyatakan apakah jaminan Kerajaan agar Peguam Negara tidak menarik balik kes profil tinggi yang sedang dibicarakan di mahkamah.

Tuan Ahmad Fadhli bin Shaari [Pasir Mas] minta Perdana Menteri menyatakan status siasatan berhubung isu pembinaan Kapal Tempur Pesisir (LCS) yang mana komitmen untuk meneruskan siasatan dan membuat pendakwaan terhadap pihak yang bertanggungjawab telah diberikan oleh Kerajaan.

Tuan Haji Mohd Misbahul Munir bin Masduki [Parit Buntar] minta Perdana Menteri menyatakan apakah usaha Kerajaan dari aspek agama bagi memastikan remaja lepasan sekolah menengah supaya tidak mudah terjebak dengan aktiviti yang merosakkan akhlak dan akidah Islam dan nyatakan pusat-pusat pemulihan aqidah yang ada di negara ini.

Tuan Mohd Syahir bin Che Sulaiman [Bachok] minta Perdana Menteri menyatakan adakah Kerajaan berhasrat untuk menyelaraskan gaji minimum penjawat awam kepada RM1,800 seperti yang dituntut oleh Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) bagi mendepani cabaran kos sara hidup yang tinggi ketika ini.

Dato’ Dr. Ahmad Yunus bin Hairi [Kuala Langat] minta Menteri Kemajuan Desa Dan Wilayah menyatakan:-

(a) apakah perancangan secara spesifik untuk meningkatkan pencapaian pendidikan Orang Asli; dan

(b) adakah Kementerian mempunyai perancangan untuk mewujudkan semula sekolah-sekolah berasrama bagi pelajar-pelajar sekolah menengah Orang Asli seperti sebelum ini.

Tuan Mohd Azizi bin Abu Naim [Gua Musang] minta Perdana Menteri menyatakan apakah mekanisme tertentu yang diperlukan bagi memastikan semua Ahli Parlimen termasuk Pembangkang diberi kebebasan untuk berurusan dengan semua pejabat dan agensi Kerajaan Persekutuan.

Tuan Muhammad Fawwaz bin Mohamad Jan [Permatang Pauh] minta Perdana Menteri menyatakan apakah dasar-dasar yang ingin ditambah baik di bawah perancangan untuk pindaan Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) dan bilakah RUU ini dijangka akan dipinda.

Datuk Wan Saifulruddin bin Wan Jan [Tasek Gelugor] minta Perdana Menteri menyatakan pendirian Kerajaan terhadap peranan Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) yang dipindahkan dari KKD ke PMO sebelum ini, supaya ia tidak dikaitkan dengan sebarang agenda kepartian dan apakah Ketua Pengarah J-KOM sebagai penjawat awam boleh membuat kenyataan berbentuk kepartian.

Kapten Dato’ Dr. Zulkafperi bin Hanapi (Bersara) [Tanjong Karang] minta Perdana Menteri menyatakan perancangan terkini berkaitan pemerkasaan ekonomi dan taraf hidup penjawat awam berikutan keperluan mendesak agar sebuah kajian semakan gaji penjawat awam dan COLA kawasan harus diwujudkan bagi menangani perbezaan jurang kos perbelanjaan di antara mereka yang bertugas di bandar dan di luar bandar.

Dato’ Rosol bin Wahid [Hulu Terengganu] minta Menteri Kewangan menyatakan berapa jumlah yang telah dilulus dan dibelanjakan oleh Kementerian untuk sekolah-sekolah persendirian Cina dan India dan sekolah- sekolah persendirian lain sejak Kerajaan campuran ini mengambil alih tampuk pemerintahan negara.

Datuk Haji Ahmad Marzuk bin Shaary [Pengkalan Chepa] minta Perdana Menteri menyatakan usaha Kerajaan bagi membendung penipuan (scam) sama ada atas talian atau secara langsung yang semakin menjadi-jadi malah ada antara mereka menggunakan nama dan uniform agensi/jabatan Kerajaan bagi menipu rakyat.

Tuan Haji Kamal bin Ashaari [Kuala Krau] minta Perdana Menteri menyatakan status permohonan membina masjid baharu di Kampung Bukit Lada, Mukim Jenderak 1, Temerloh (DUN Kerdau) serta peruntukan pembinaan yang sudah dimohon pada 25 Oktober 2021 melalui surat rasmi, namun masih tiada jawapan dari pihak Kementerian.

Dr. Hajah Halimah Ali [Kapar] minta Perdana Menteri menyatakan perkembangan cadangan penubuhan Suruhanjaya Keselamatan Siber.

Dato’ Sri Tuan Ibrahim bin Tuan Man [Kubang Kerian] minta Menteri Kewangan menyatakan adakah Kerajaan bercadang mempelopori penggunaan Dinar Emas serta sistem barter dalam perdagangan sesama negara Muslim seperti mana negara China yang sedang berbincang dengan negara Arab Saudi untuk menggunakan mata wang Yuan dalam transaksi jualan minyak. – HARAKAHDAILY 14/6/2023

- Advertisement -