
KUALA LUMPUR: Mohd Misbahul Munir Masduki (PN-Parit Buntar) mempersoalkan adakah kerajaan gagal menangani masalah bekalan gula yang berkurangan di pasaran.
Beliau berkata, tindakan kerajaan sangat berani kerana membenarkan penjualan gula putih bertapis jernih sebagai produk baru tanpa sebarang kawalan.
“Adakah kerana kerajaan gagal menangani masalah bekalan gula yang berkurangan di pasaran menyebabkan kerajaan membenarkan syarikat pengeluar gula mengeluarkan produk baharu yang dijual dengan harga yang (pada saya) begitu mahal.
“Adakah ini satu taktik atau strategi syarikat pengeluar gula dengan mengehadkan pengeluaran menyebabkan bekalan gula berkurangan dan kerajaan terpaksa mengeluarkan atau membenarkan syarikat lain mengeluarkan gula jernih.
Beliau berkata demikian dalam perbahasan Kebenaran Pengeluaran Gula Putih Bertapis Jernih di Dewan Rakyat, hari ini.
Mohd Misbahul Munir berkata, gula merupakan keperluan rakyat terutama pada waktu perayaan dan apabila berlaku konspirasi dalam kalangan syarikat pembekal gula akan mengejar keuntungan, namun rakyat menjadi mangsa.
“Jika terdapat konspirasi antara syarikat gula dengan mengehadkan ‘gula rakyat’ berharga RM2.85 berkurangan dan tiada langsung di pasaran, rakyat tiada pilihan dan terpaksa membeli harga gula jernih yang dijual dengan harga begitu mahal iaitu RM4.60.
“Jadi mengapa kerajaan begitu berani membenarkan penjualan gula jernih ini, produk baru ini tanpa sebarang kawalan, itu terpulang kepada pasaran.
“Boleh jadi satu ketika nanti kalau ‘gula rakyat’ tiada, tak cukup, yang hanya ada gula produk baru, gula jernih akan dijual dengan harga begitu tinggi, rakyat terpaksa hadapi ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/6/2023




















