
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) masih meneruskan aktiviti penguatkuasaan larangan merokok di premis awam termasuk kedai makan secara aktif sebagaimana Peraturan 11(1), Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 pindaan 2018.
Menurut KKM, aktiviti penguatkuasaan dilaksanakan melalui penguatkuasaan bersepadu melibatkan seluruh negeri di Malaysia dengan kerjasama agensi-agensi penguat kuasa yang lain seperti pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
“Di samping itu, aktiviti penguatkuasaan secara rutin dilaksanakan sepanjang tahun,” ujar KKM dalam jawapan bertulis kepada soalan Ustaz Kamal Ashaari [PN-Kuala Krau] pada persidangan Dewan Rakyat, semalam.
Ustaz Kamal meminta menteri berkenaan menyatakan sejauh mana penguatkuasaan larangan merokok di premis awam seperti kedai makan bagi meningkatkan kesedaran tentang bahaya merokok.
Selain itu, KKM juga telah mewujudkan hotline aduan merokok melalui aplikasi WhatsApp di talian 010-860 8949.
Katanya, talian itu membolehkan orang awam membuat aduan secara terus kepada KKM mengenai aktiviti merokok di tempat larangan.
“Aduan yang diterima melalui talian hotline akan dikumpulkan dan dipanjangkan kepada Jabatan kesihatan negeri masing-masing bagi tindakan seterusnya,” ujarnya.
Tambahnya, berdasarkan jumlah aduan yang diterima, pihak jabatan kesihatan negeri dan pejabat kesihatan daerah akan merancang lokaliti hotspot dan menjalankan pemeriksaan di premis-premis yang berkaitan.
Kementerian Kesihatan Malaysia akan terus mempergiatkan aktiviti penguatkuasaan larangan merokok di tempat-tempat larangan merokok terutama kedai makan. – HARAKAHDAILY 13/6/2023




















