Kaji punca lepasan SPM tidak sambung belajar

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ketua Portfolio Pendidikan dan Pendidikan Tinggi PERIKATAN NASIONAL (PN), Datuk Seri Saifuddin Abdullah, meminta kerajaan mengkaji dengan mendalam masalah pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak mahu menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.

- Advertisement -

Datuk Seri Saifuddin Abdullah yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota berkata, terdapat data-data yang perlu dilihat bagi mengkaji punca golongan berkenaan membuat keputusan begitu.

Katanya, sudah tentu ada faktor yang menyebabkan pelajar lepasan SPM tidak mahu menyambung pelajaran.

“Ketika Covid-19, peratusan besar daripada mereka yang jadi e-hailer (penghantar makanan) adalah pelajar universiti atau yang baru keluar universiti. Mereka tiada kerja lain zaman Covid-19.

“Adakah mereka nak sambung balik belajar atau tidak, sebab dia dah merasa dapat duit dan sebagainya…jadi benda-benda itu yang harus kita teliti,” katanya pada sidang media di Lobi Parlimen, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai kajian Strategik Forward Malaysia Research Centre, berhubung trend pelajar lepasan SPM yang tidak mahu menyambung pengajian di peringkat tinggi berterusan akan menyebabkan negara kehilangan 70 peratus tenaga mahir dalam pasaran.

Ini adalah berdasarkan laporan 48 peratus lepasan SPM 2021 tidak melanjutkan pengajian pada tahun lalu.

Sementara itu Saifuddin berkata, PN mengemukakan beberapa cadangan untuk memperkasa penghayatan budaya ilmu bagi membangunkan msyarakat dan negara.

Katanya, ini termasuk menggerakkan reformasi pendidikan komprehensif yang meliputi semua aspek, iaitu falsafah, dasar undang-undang, ekosistem, kurikulum, TVET, sumber manusia, mutu dan penghakupayaan pensyarah/guru termasuk pelajar, teknologi digital, kebolehpasaran graduan, perpaduan, pengantarabangsaan, peranan ibu bapa dan alumni, kerjasama pemegang taruh serta kewangan. – HARAKAHDAILY 13/6/2023

- Advertisement -