Langkah benar jual pelbagai mercun undang padah

- Advertisement -

KOTA BHARU: Langkah kerajaan membenarkan penjualan pelbagai jenis mercun dan bunga api akhirnya mengundang padah apabila jumlah mangsa, terutama kanak-kanak yang cedera semakin bertambah.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri, Dato’ Mumtaz Md Nawi berkata, sehingga sekarang terdapat 17 kes yang dirujuk ke fasiliti kesihatan.

- Advertisement -

Katanya, kecederaan itu boleh dielak jika ibu bapa berhenti membeli mercun dan bunga api untuk anak-anak mereka.

“Kami tidak begitu bersetuju apabila kerajaan membenarkan penjualan lebih banyak jenis mercun dan bunga api kerana mengundang lebih banyak kecederaan terhadap anak-anak.

“Walaupun ibu bapa memantau anak bermain mercun, ia tidak mencukupi untuk mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku,” katanya ketika ditemui di sini.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan membenarkan penjualan mercun dan bunga api termasuk garis panduan yang perlu dipatuhi pemborong dan pengimport.

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dilaporkan berkata, penjualan mercun dihalalkan sebagai langkah menghentikan aktiviti penyeludupan di negara ini.

Mumtaz turut mencadangkan supaya permainan tradisi rakyat dihidupkan semula sebagai aktiviti kanak-kanak.

Katanya, permainan berkenaan bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan masyarakat, sebaliknya tidak berbahaya serta tidak menghabiskan wang.

Baru-baru ini, media melaporkan Kelantan mencatat 17 kes kecederaan membabitkan mercun dan bunga api melibatkan usia antara sembilan hingga 10 tahun bermula 25 Mac lalu.

Menurut Pengarah Kesihatan Kelantan, Dato’ Dr Zaini Hussin, 12 daripada mereka dimasukkan ke wad, manakala lima lagi mendapatkan rawatan pesakit luar.

Langkah kerajaan menarik balik larangan penjualan mercun dan bunga api turut dibantah Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP).

Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader, dilapor berkata keputusan menarik larangan itu secara tidak langsung membolehkan peniaga haram ‘menyamar’ menjual mercun dan bunga api yang dilarang. – HARAKAHDAILY 20/4/2021

- Advertisement -