
BUENOS AIRES: Mahkamah Argentina membuat keputusan untuk membicarakan lapan profesional penjagaan kesihatan berhubung kematian pemain bola sepak, Diego Maradona pada 2020.
Namun mahkamah belum menetapkan tarikh prosiding, tetapi paling awal dapat dilakukan ialah pada tahun depan.
Laporan Lembaga Perubatan yang sebelum ini diberikan kepada pendakwa raya menyimpulkan bahawa Maradona mengalami kesakitan lebih 12 jam, tidak menerima rawatan yang mencukupi dan masih boleh hidup jika dirawat dengan betul.
Tiga hakim dari Mahkamah Rayuan di San Isidro, pinggir Buenos Aires, mengesahkan pertuduhan yang akan dikenakan oleh pendakwa raya terhadap pasukan perubatan Maradona, iaitu pembunuhan secara cuai.
Pakar bedah saraf, Leopoldo Luque dan pakar psikiatrik, Agustina Cosachov, dituduh gagal menjaga Maradona. Anggota lain pasukan perubatan itu, termasuk ahli psikologi, Carlos Díaz; dua doktor, Nancy Forlini dan Pedro Di Spagna; penyelaras kejururawatan, Mariano Perroni dan dua jururawat, Ricardo Almirón dan Dahiana Madrid.
Maradona, yang memenangi Piala Dunia bersama Argentina pada 1986, meninggal dunia akibat serangan jantung pada 25 November 2020, di kediaman yang disewa di luar Buenos Aires selepas menjalani pembedahan otak dua minggu sebelumnya. Dia berumur 60 tahun.
Bedah siasat Maradona menunjukkan beliau mati atas sebab semula jadi. – AP











