Pengusaha motosikal tambang murah rezeki menjelang Aidilfitri

- Advertisement -

RANTAU PANJANG: Hampir semua tempat di negara ini, kita sering menemui penunggang motosikal membonceng bakul bertulis Grab atau Panda bagi menghantar makanan tempahan pelanggan.

Namun berbeza di Pekan Rantau Panjang, perkhidmatan motosikal tambang pula mudah ditemui. Mereka yang memakai vest hijau, menggunakan motosikal dengan nombor pendaftaran tempatan dan juga Thailand.

- Advertisement -

Perkhidmatan motosikal tambang terkenal di pekan ini kerana menjadi pilihan orang ramai untuk ke pelbagai destinasi, termasuk ke Bandar Sungai Golok di Thailand.

Perkhidmatan tersebut popular kerana menjimatkan masa dan kadar caj lebih murah, iaitu sebanyak RM5 bermula dari Rantau Panjang ke sempadan Thailand.

Menjelang Aidilfitri, pengusaha motosikal tambang semakin sibuk bagi memenuhi kehendak penumpang. Malah, mereka terpaksa menambah masa perkhidmatan.

Ramli Ismail, 53 yang menyediakan perkhidmatan motosikal tambang berkata, kebiasaan mereka hanya menerima tidak lebih 10 pelanggan sehari.

Namun, katanya sejak akhir Ramadan, permintaan pelanggan melonjak sehingga lebih 100 orang sehari kerana ramai rakyat Thailand yang bekerja di Kelantan mahu pulang ke kampung mereka bagi menyambut Aidilfitri.

Pengusaha motosikal tambang di Rantau Panjang

“Alhamdulillah, kami mula menyediakan perkhidmatan seawal jam 5 atau 6 pagi sehingga 9 malam, kalau masih ada pelanggan.

“Kalau hari biasa tidak ramai pelanggan, tapi menjelang Aidilfitri memberi sedikit kegembiraan kepada kami,” katanya ketika ditemui di Stesen Bas Ekspres Rantau Panjang dekat sini.

Rakannya, Che Jali Che Moh, 73, turut meluah rasa syukur kerana menjelang Aidilfitri mendapat banyak rezeki dengan kehadiran ramai pelanggan.

“Alhamdulillah, rasa seronok bila dapat ramai pelanggan dan tahun ini, pelanggan pun lebih ramai berbanding sebelum ini,” katanya.

Di lokasi terbabit terdapat seramai 45 pengusaha motosikal tambang yang menyediakan perkhidmatan membawa penumpang terutama ke Bandar Sungai Golok. – HARAKAHDAILY 20/4/2023

- Advertisement -