
KUALA LUMPUR: Senator Abdul Nasir Idris mencadangkan kerajaan memberi penekanan terhadap penanaman padi huma atau padi bukit sebagai antara cara meningkatkan pengeluaran padi negara.
Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayu meminta pandangan kerajaan berhubung satu lagi produk pertanian, iaitu tanaman padi huma.
“Adakah kemungkinan ia dapat diperluaskan dan diberi nafas baharu untuk kita perbanyakkan bekalan beras negara,” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan ketika sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Negara, hari ini.
Menjawab perkara ini, Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Chan Foong Hin, berkata kerajaan ketika ini sangat mengutamakan penanaman padi huma di Sabah dan Sarawak.
Katanya, ini kerana pada asalnya tanaman ini dihasilkan untuk dimakan sendiri dan bukan berbentuk komersial.
“Di Semenanjung, kita terbuka untuk perbincangan supaya kita juga dapat membawa tanaman ini untuk Orang Asli,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/4/2023




















