
KUALA LUMPUR: Masalah utama yang dihadapi penternak ikan air tawar, terutama penternak ikan patin kini adalah kenaikan harga dedak yang semakin mahal.
Selain itu, Salamiah Mohd Nor (PN-Temerloh) berkata, penternak ikan patin berdepan kesukaran untuk mendapatkan benih ikan patin.
Justeru itu, beliau meminta penjelasan sama ada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) bercadang membina kilang dedak ikan patin.
“Apakah kekangannya jika kerajaan tidak bercadang membangunkannya? Adakah sebarang usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi menghasilkan benih ikan patin berkualiti dengan kos yang lebih rendah?
“Apakah kriteria yang diperlukan bagi penternak ikan untuk layak mendapat subsidi atau geran daripada kerajaan?
“Apakah bentuk perancangan yang dibuat untuk meluaskan pasaran ikan air tawar, khususnya patin? Apakah usaha yang dilakukan untuk membina kilang bagi proses mengetin ikan air tawar?” katanya.
Beliau berkata demikian semasa mengemukakan soalan tambahan pada sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Chan Foong Hin, berkata MAFS sedang memberikan tumpuan untuk membangunkan penghasilan makanan dan benih ikan patin.
Katanya, MAFS juga sedang melaksanakan beberapa program dan aktiviti penyelidikan serta bekerjasama dengan pelbagai pihak.
Beliau berharap dengan usaha itu dapat mengurangkan kebergantungan kepada dedak import. – HARAKAHDAILY 15/3/2023




















