Laporan EIA projek PSR masih dalam penilaian JAS

Muhammad Fawwaz Mohamad Jan
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Laporan Penilaian Kesan Ke Atas Alam Sekitar (EIA) bagi projek Tambakan Selatan Pulau Pinang (PSR) masih dalam proses penilaian oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS).

- Advertisement -

Menurut Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, keputusan dasar dan keputusan bagi pelaksanaan projek PSR adalah di bawah bidang kuasa pihak yang bertanggungjawab yang meluluskan projek iaitu Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Pulau Pinang.

Katanya, JAS hanya menilai dan memberi kelulusan terhadap laporan EIA berdasarkan pematuhan penyediaan laporan EIA mengikut Seksyen 34A, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 iaitu projek mengikut rancangan pemajuan atau rancangan fizikal dan memenuhi garis panduan yang telah ditetapkan (Environmental Guidelines in Malaysia – EGIM).

Demikian dinyatakan kementerian itu dalam jawapan bertulis kepada soalan Muhammad Fawwaz Mohamad Jan [PN-Permatang Pauh] di Dewan Rakyat, hari ini.

Tambah kementerian itu, dalam menilai kajian Laporan EIA, JAS melibatkan agensi-agensi dan non-governmental organization (NGO) untuk mendapatkan ulasan berkaitan polisi, perundangan atau prosedur yang berkaitan bidang kuasa masing-masing di dalam Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal EIA (EIATRC).

“Antara agensi yang terlibat dalam Mesyuarat EIATRC adalah Jabatan Perikanan, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia), Pusat Hidrografi Nasional, Jabatan Laut, Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Jabatan Kerja Raya (JKR), Kementerian Kesihatan Malaysia, NGO seperti Sahabat Alam Malaysia serta pakar yang dilantik dalam bidang ekologi marin, marine hydraulic modelling/coastal dan sosio-ekonomi,” katanya.

Jelasnya, isu-isu berbangkit atau penemuan yang dikenal pasti sama ada impak positif atau impak negatif semasa menilai Laporan EIA akan dikemukakan kepada Penggerak Projek serta kepada Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Pulau Pinang sebagai pihak berkuasa melulus untuk mempertimbangkan kelulusan projek dan tindakan yang perlu diambil bagi pelaksanaan projek PSR itu.

“JAS hanyalah meluluskan Laporan EIA namun kelulusan projek adalah tertakluk kepada pihak berkuasa melulus,” ujarnya.

Muhammad Fawwaz dalam soalannya meminta Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim menyatakan hasil penilaian Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) projek PSR serta nyatakan pendirian kerajaan terhadap projek mega ini. – HARAKAHDAILY 14/3/2023

- Advertisement -