
KUALA LUMPUR: Tulisan Jawi wajar digunakan dalam urusan rasmi sebagai usaha memartabatkan semula tulisan itu, terutama yang membabitkan pelbagai agensi Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
Ahli Parlimen Parit Buntar, Mohd Misbahul Munir Masduki, berkata cadangan itu sebagai usaha kesinambungan tulisan jawi di negara ini dan supaya rakyat tidak melupakan asal usul negara.
“Kita mahu rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa mengetahui asal usul negara kita ini, apatah lagi rakyat Malaysia terutama orang Melayu mengenali tulisan melalui Jawi.
“Bangsa-bangsa lain di Asia Tenggara masing-masing mempunyai tulisan sendiri seperti Thai, Khmer dan Cina. Apa salahnya kita martabatkan semula tulisan Jawi,” katanya semasa mencelah perbahasan Titah Diraja oleh Ahli Parlimen Jerai, Sabri Azit di Dewan Rakyat, hari ini.
Sependapat dengan cadangan itu, Sabri bersetuju memasukkan cadangan itu dalam ucapan perbahasannya.
Selain itu, Sabri yang juga Dewan Munsyi Jawi menghargai kesinambungan program melestarikan Jawi oleh mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) melalui program Jawi Hari Jumaat.
Beliau berharap Menteri Hal Ehwal Agama yang baharu dapat meneruskan dan memberi nafas baru dengan idea kreatif bagi membudaya, memperkasa dan memartabatkan tulisan Jawi dalam kalangan anak-anak bangsa di seluruh negara. – HARAKAHDAILY 16/2/2023




















