
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen PERIKATAN NASIONAL (PN) bimbang usaha kerajaaan PH-BN menguar-uarkan konsep Malaysia Madani boleh menjadi cacat apabila wakil rakyat pembangkang didiskriminasi.
Ahli Parlimen Jerai, Sabri Azit berkata, konsep madani bukan sahaja bagi merealisasi kehendak rakyat, sebaliknya mencakupi sehingga ke ukhrawi.
“Konsep madani yang dibawa kerajaan sekarang akan menjadi cacat apabila wakil rakyat pembangkang didiskriminasi bagi mendapat peruntukan serupa penyokong kerajaan bagi manfaat rakyat,” katanya ketika membahas Titah Diraja pada sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Baru-baru ini Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengumumkan peruntukan kawasan untuk Ahli Parlimen penyokong kerajaan (back bencher) untuk 2023 dikurangkan daripada RM3.8 juta kepada RM1.3 juta.
Bagaimanapun peruntukan serupa untuk Ahli Parlimen pembangkang tidak disenaraikan.
Situasi itu berbeza ketika era pentadbiran PN apabila setiap Ahli Parlimen diperuntukkan RM500,000 untuk ‘outright grant’.
Manakala RM1 juta untuk Projek Mesra Rakyat di bawah peruntukan Kerajaan Persekutuan yang diterajui PN.
Isu peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang sering dibangkit Ahli Parlimen PN sejak sidang Parlimen bermula.
Sabri juga mempersoalkan ejaan tulisan madani yang dianggap tidak mengikut konsep bahasa Arab yang selaras dengan kaedah yang dilaksanakan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). – HARAKAHDAILY 16/2/23











