Nepotisme jadi normal baharu dalam kerajaan

Dato' Ahmad Yahaya
- Advertisement -

INI adalah kali pertama saya berbahas di Dewan yang mulia ini. Sukalah untuk saya mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada pengundi Parlimen Pokok Sena yang memberi peluang kepada saya mewakili Perikatan Nasional untuk mewakili mereka, memberi khidmat dan bersuara bagi pihak mereka. Pokok Sena hari ini tidak sama dengan Pokok Sena dahulu.

- Advertisement -

Pilihan Raya Umum Kelima Belas pada November yang lalu memberikan satu signal yang jelas kepada kita bahawa rakyat mahukan suatu titik perubahan dalam landskap politik tanah air. Polarisasi pengundian yang berlaku adalah isyarat bahawa politik matang dan sejahtera memainkan peranan yang penting dalam aspek memilih tampuk pemerintahan negara.

Kematangan rakyat dalam memilih pemimpin ini seharusnya disambut oleh para pemimpin yang ada pada hari ini agar pemimpin dapat menjalankan tugas dengan penuh dedikasi, telus serta bertanggungjawab. Kematangan dalam menjalankan tugas sama ada di peringkat kerajaan mahupun di peringkat Ahli Dewan Rakyat bukan sahaja sekadar di bibir, malah mesti dibuktikan dengan komitmen dan usaha. Ia mesti dilihat matang dan mesti dilaksanakan kematangan itu dalam setiap tindakan para pemimpin. Sesungguhnya rakyat menuntut kematangan para pemimpin.

Namun, sangatlah ironi apabila kerajaan yang berada di hadapan saya pada hari ini, seolah-olah mengambil langkah mengundur ke belakang. Reformasi integriti masih tidak dijadikan keutamaan dalam kerajaan. Saya lihat ia masih di awang-awangan. Amalan nepotisme diangkat sebagai norma baharu dalam kerajaan meskipun dilapik dengan alasan kerja tanpa gaji atau pro bono.

Jawatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan diletakkan di bawah individu yang sama. Walaupun sebelum ini pihak sebelah sana jugalah yang lantang membidas pihak lain mengamalkan perkara yang sama. Persoalan saya, bagaimana mungkin politik tanah air akan bergerak ke arah suatu kematangan yang diharapkan dan kematangan yang tinggi jika mentaliti dan amalan kerajaan yang ada pada hari ini masih di takuk yang lama.

Dalam konteks kedudukan badan penguatkuasaan SPRM yang menjadi nadi penting bagi menghapuskan rasuah dalam negara. Saya ingin mengetahui apakah kerajaan mempunyai suatu perancangan strategik bagi memastikan akauntabiliti SPRM di bawah Parlimen yang mulia ini. Sewajarnya isu akauntabiliti SPRM ini dijadikan keutamaan oleh kerajaan pada hari ini.

Malangnya, pelbagai tuduhan rambang, persepsi kosong yang disebar luas tanpa sebarang bentuk pembuktian yang berfakta dikemukakan. Mungkin kesemua ini bertitik tolak daripada dendam politik yang tidak pernah berkesudahan. Saya berpandangan kerajaan perlu menangani masalah defisit keyakinan terhadap SPRM yang sebenarnya dicetuskan dalam kalangan pemimpin parti kerajaan sendiri.

Ketika kempen PRU15 tempoh hari, ada pihak sebelah sana secara terbuka mengugut untuk mencari Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu selepas memenangi pilihan raya umum. Walau bagaimanapun, selepas berada di tampuk pentadbiran, individu yang sama tidak meletakkan reformasi institusi SPRM sebagai keutamaan. Bagi saya, ini adalah suatu yang sangat menghairankan. Apakah kerajaan tidak tahu meletakkan keutamaan dalam suatu perkara? Bagaimana pemimpin politik boleh mengeluarkan kenyataan sedemikian yang sangat tidak bertanggungjawab?

Saya juga ingin mengambil contoh iaitu apabila saya melihat dan mendengar kenyataan-kenyataan daripada Yang Amat Berhormat Tambun sendiri, lebih cenderung membuat tuduhan rambang sehingga mencetuskan persepsi negatif terhadap kakitangan awam. Ini yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Pagoh tadi, yang berada dalam kementerian sendiri.

Ironinya dalam masa yang sama individu yang berdepan kes rasuah diangkat dalam Kabinet selain amalan nepotisme menjadi normal baharu dalam kerajaan. Isunya di sini bukan lagi soal mereformasi SPRM dan kehendak politik untuk menutup lubang rasuah tetapi sebaliknya semakin mengundur lebih parah ke belakang dengan amalan norma baharu tadi. Soalan saya, adakah ini identiti madani yang cuba untuk diketengahkan. Saya ikuti perbahasan dari Yang Berhormat Kuala Selangor tadi yang cuba untuk menjelaskan apakah yang dimaksudkan madani, namun sayang Yang Berhormat Hulu Langat pun payah hendak faham apa yang dijelaskan itu.

Saya berpandangan isu reformasi institusi ini memerlukan libat urus yang serius. Paling utama adalah kita menolak institusi penting seperti SPRM ini dijadikan alat tunggangan politik. Saya tegaskan bahawa keadilan itu bukan sahaja perlu untuk dilaksanakan bahkan perlu dilihat sebagai telah dilaksanakan. Tambahan lagi keadilan bukan sahaja dilihat sebagai telah dilaksanakan bahkan juga perlu dilihat sebagai telah dipercayai pelaksanaannya.

Saya ingin beralih kepada isu federalisme yang juga perlu diberikan perhatian serius. Tadi sudah dibangkitkan oleh sahabat saya Yang Berhormat Alor Setar. Saya juga suka untuk membangkitkan semula isu ini di mana saya berpandangan kita seharusnya meletakkan satu garis yang jelas di antara kerajaan kepada kerajaan dan parti kepada parti. Dalam konteks federalisme, kita harus berpijak pada paksi hubungan di antara Kerajaan Pusat dengan kerajaan negeri.

Maka, oleh yang demikian soal perbezaan parti di peringkat Persekutuan dan negeri tidak seharusnya berbangkit. Namun, hari ini amalan Kerajaan Persekutuan seolah-olah cuba mengundurkan negara ke belakang sekali lagi dengan kewujudan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP). Ini adalah sebahagian daripada taktik membuli yang akan merugikan rakyat pada akhirnya.

Kita perlu sedar prinsip federalisme di Malaysia tidak begitu kompleks sebagaimana yang diamalkan di negara-negara luar seperti di Switzerland dan Belgium. Federalisme di Switzerland sebagai contoh menguruskan negeri-negerinya dengan empat bahasa rasmi utama iaitu Jerman, Itali, Roman dan Perancis. Begitu juga amalan federalisme yang agak kompleks di Belgium, India dan negara-negara Persekutuan yang lain. Cuma, federalisme yang diamalkan di Malaysia terlalu berpusat kepada Persekutuan. Saya tidak berhajat untuk merungkaikan semula. Cuma, kita seharusnya berpegang kepada best practice khususnya dalam konteks hubungan di antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.

Ada beberapa perkara yang saya berpandangan perlu diberikan penekanan dalam hal ini.

(i)            memelihara hubungan terus di antara Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri tanpa perlu Jabatan Pembangunan Persekutuan;

(ii)           menyatakan komitmen yang jelas khususnya berkaitan dengan urusan kewangan dan fizikal dengan kerajaan-kerajaan negeri antaranya yang berkait dengan royalti, geran per kapita dan sebagainya;

(iii)          meningkatkan anggota Dewan Negara dari negeri-negeri yang dihadkan kepada dua orang sahaja daripada setiap negeri ketika ini bagi menguatkan lagi suara dari negeri ke Persekutuan;

(iv)         menyemak semula peruntukan geran per kapita berdasarkan bahagian satu jadual ke-10 supaya ia dapat ditingkatkan selaras dengan paras tahap sara diri yang sesuai ketika ini; dan

(v)          merundingkan semula pembayaran nilai pajakan Pulau Pinang daripada Kerajaan Persekutuan yang dikhususkan kepada negeri Kedah.

Ini sebahagian daripada perkara yang memerlukan kepada jawapan balas daripada kementerian. Saya mengharapkan respons yang baik daripada pihak kerajaan.

Perkara terakhir yang ingin saya sentuh dalam perbahasan ini adalah berkenaan dengan langkah Kementerian Kesihatan. Kebetulan Yang Berhormat Menteri ada memperkenalkan projek rintis pemberian ubat mencegah jangkitan HIV iaitu PrEP secara permintaan. Saya ingin menegaskan bahawa implikasi terhadap tindakan tersebut sangat besar khususnya kepada perkembangan golongan LGBT atau spesifiknya golongan gay dalam negara ini.

Saya mengharapkan agar KKM dapat meneliti semula projek rintis berkenaan. Ini bukan kerana kita menolak prinsip kementerian untuk menyelamatkan golongan yang berisiko kepada HIV tetapi kita memerlukan suatu pendekatan yang lebih menyeluruh untuk memastikan golongan gay dan LGBT umumnya tidak turut berkembang dalam negara ini. Inilah pandang sisi yang wajar diketengahkan oleh kementerian. Saya berpandangan Kementerian Kesihatan sewajarnya mengambil pandangan agama dan moral secara bersama dalam menangani isu sebegini. Sinergi bersama JAKIM dan Majlis Fatwa di negeri-negeri seharusnya dirundingkan secara berstrategik bagi mengelakkan implikasi yang lebih parah kemudiannya jika projek rintis memberi pemberian PrEP ini diteruskan.

Dalam konteks mengawal penularan LGBT dalam negara, saya ingin menyentuh beberapa item berikut:

(i)            kerajaan mesti mengemukakan statistik semasa setiap satu golongan LGBT dalam negara serta punca dan bagaimana budaya songsang ini boleh menular dalam negara;

(ii)           menggubal suatu dasar bagi menolak prinsip dan tuntutan terhadap orientasi seksual dan identiti gender yang menjadi lapangan perjuangan golongan LGBT ini;

(iii)          menggubal suatu dasar bagi melakukan sekatan terhadap platform media sosial sama ada yang berpangkalan dalam negara mahupun di luar negara yang mengandungi unsur LGBT; dan

(iv)         memperkukuhkan dasar berkaitan institusi kekeluargaan bagi mengurangkan pengaruh terhadap gelombang LGBT yang masuk dalam negara ini.

Sesungguhnya penyakit ini berbahaya. Bukan sekadar mengundang masalah sosial bahkan ia juga mengundang bala Allah SWT. Gerunlah dengan amaran Allah, Al-Anfal ayat 25. Marilah kita menyahut apa yang diperingatkan Allah (yang bermaksud): “Peliharalah diri kamu daripada seksaan yang tidak hanya menimpa orang-orang yang zalim sahaja dari kalangan kamu. Ketahuilah bahawa Allah sangat keras seksanya”. – HARAKAHDAILY 16/2/2023

Petikan ucapan Ahli Parlimen Pokok Sena, Dato’ Ahmad Yahaya semasa membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat pada 15 Februari 2023.

- Advertisement -