
TOKYO: Jepun akan memperketatkan langkah kawalan sempadan Covid-19 terhadap pelancong dari China mulai Ahad ini (8 Januari).
Perdana Menteri, Fumio Kishida, berkata tindakan itu adalah antara usaha kerajaan negara itu menghadapi lonjakan jangkitan wabak itu.
Pengumuman Kishida diikuti penjelasan lanjut kerajaan Jepun, iaitu langkah tambahan itu akan memerlukan ujian Covid-19 negatif diambil dalam tempoh 72 jam selepas penumpang menaiki penerbangan terus dari China.
Berucap dalam sidang akhbar sempena Tahun Baharu yang disiarkan di seluruh negara, Kishida berkata, Jepun juga akan meminta syarikat penerbangan mengehadkan penerbangan tambahan dari China.
Katanya, tindakan ini menyusuli keputusan ujian Covid-19 ke atas pelancong dari China dalam tempoh beberapa hari kebelakangan ini dan langkah serupa oleh negara lain.
Kementerian Kesihatan Jepun yang membuat pengiraan Selasa lalu, mendapati 53 daripada 56 pelancong antarabangsa yang disahkan positif Covid-19 ketika ketibaan di lapangan terbang negara itu adalah dari China.
Tindakan China memansuhkan sekatan virus yang ketat bulan lalu, mencetuskan semula Covid-19 membabitkan 1.4 bilion penduduk yang mempunyai sedikit imuniti semula jadi daripada dijangkiti virus itu yang muncul di Wuhan, tiga tahun lalu.
“Keadaan wabak di tanah besar China membuatkan ramai penduduk Jepun bimbang,” Kishida kemudian memberitahu rancangan Fuji TV.
Beliau berkata, kerajaan Jepun akan berusaha untuk menilai tahap jangkitan dalam kalangan pelancong China dengan menjalankan ujian PCR atau antigen kuantitatif serta pengawasan genomik semasa ketibaan.
China pula menolak kebimbangan dunia terhadap statistik Covid-19 negara itu sebagai percubaan bermotif politik untuk mencemarkan pencapaian memerangi virus itu.
Negara itu menyifatkan ujian Covid-19 yang dikenakan terhadap warga negara itu oleh Amerika Syarikat, negara Eropah dan Korea Selatan sebagai diskriminasi.
Kementerian Luar Jepun pula memberitahu bahawa penerbangan terus dari Hong Kong dan Macao akan dibenarkan mendarat di lapangan terbang selain Narita dan Haneda dekat Tokyo, Kansai dekat Osaka dan Chubu dekat Nagoya, sekali gus mengurangkan sekatan yang dikeluarkan minggu lalu. – CNA











