Kerajaan sekarang perlu lebih berjiwa besar

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Senator Apandi Mohamad dari Kelantan menyifatkan pelantikan dua Timbalan Perdana Menteri (TPM) di bawah kerajaan sekarang sebagai tidak pernah berlaku sebelum ini.

- Advertisement -

Bagaimanapun, beliau tetap merakamkan ucapan tahniah kepada kedua-dua TPM, iaitu Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Dato’ Seri Fadillah Yusof.

Begitu juga katanya, ucapan serupa dituju kepada Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang dilantik Perdana Menteri baharu.

“Kita mesti meluluskan belanjawan mini bagi membolehkan gaji kakitangan awam dibayar untuk tahun hadapan.

“Kemungkinan bajet penuh akan dibentang pada Februari tahun hadapan. Sedangkan sebelum ini setiap kali bajet dibentang di Parlimen dilulus terlebih dahulu sebelum Parlimen dibubar,” katanya ketika membahas Bajet Mini 2023 pada sidang Dewan Negara, hari ini.

Apandi juga berkata, beliau sedikit berbeza pandangan mengenai istilah kerajaan sekarang yang disebut kerajaan perpaduan.

Sedangkan katanya, kerajaan perpaduan mengikut Kamus Dewan bermaksud tidak ada pembangkang.

“Namun apabila ada pihak yang mahu menggunakan istilah kerajaan perpaduan itu tidak mengapa. Apa pun kita mahu kerajaan sekarang lebih berjiwa besar dan tidak menyisihkan kerajaan negeri yang diterajui pembangkang,” ujarnya.

Oleh itu, beliau berharap Perdana Menteri sekarang tidak mengenepikan negeri-negeri bukan di bawah PH-BN seperti Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis.

“Sedangkan pengalaman yang pernah dilalui Kelantan selepas PAS dan Angkatan Perpaduan Ummah menerajui negeri itu pada 1990, tiba-tiba peruntukan bagi projek bekalan air ditarik balik,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/12/2022

- Advertisement -