‘Ini bukan waktu sesuai hanya keluar arahan’

Wan Sukairi semasa menyantuni mangsa banjir di PPS Sekolah Kebangsaan Bukit Losong, Kuala Terengganu.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Ini bukan waktu yang sesuai untuk berada atas kerusi empuk dan hanya mengeluarkan arahan”, kata Exco Kerajaan Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah.

- Advertisement -

Justeru, ujarnya untuk sepanjang tempoh minggu ini bermula Isnin lalu, beliau telah meminta pegawai khas untuk mengosongkan jadual rasminya.

Tambahnya, segala mesyuarat dan perjumpaan terpaksa ditangguhkan seketika.

“Kerana itu, saya memohon maaf kepada pihak yang telah membuat temu janji awal kerana terpaksa ‘bercuti’ seketika dari masuk pejabat sama ada di Pejabat Exco mahupun Pejabat ADUN,” ujarnya menerusi laman Facebook beliau, hari ini.

Menurutnya, fokus beliau dan pasukan sekarang adalah untuk membantu mangsa-mangsa banjir dan menyantuni mereka.

Beliau berkata, meskipun keadaan banjir kelihatan makin pulih, perancangan untuk pasca banjir juga perlu dibuat rapi.

Wan Sukairi menambah, ini adalah waktu untuk betul-betul fokus bekerja kepada rakyat.

“Insya-Allah, semoga Allah SWT mempermudahkan segala urusan kita semua,” ujarnya yang juga Adun Wakaf Mempelam. – HARAKAHDAILY 21/12/2022

- Advertisement -