Senator mohon peruntukan RM250,000 bantu rakyat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan baharu di bawah PH-BN diminta menyediakan peruntukan khas kepada senator bagi membolehkan membantu rakyat, terutama di negeri-negeri yang dilanda banjir.

- Advertisement -

Senator Dato’ Razali Idris berkata, ketika negara dilanda wabak Covid-19 sebelum ini, senator mendapat peruntukan daripada kerajaan sebanyak RM300,000 bagi membantu rakyat yang berdepan dengan kesukaran.

“Saya percaya rakan-rakan senator lain juga setuju dengan cadangan ini, lagi pun bilangan senator Dewan Negara tidak ramai.

“Saya hanya mencadangkan peruntukan sebanyak RM250,000 dan bukan RM300,000 untuk diberi kepada senator bagi melaksanakan tugas kepada rakyat,” katanya ketika membahaskan Usul Bajet Mini dan Rang Undang-Undang Kumpulan Wang Disatukan 2022 pada sidang Dewan Negara, hari ini.

Sebelum itu, Bajet Mini dan RUU berkenaan dibentangkan oleh Timbalan Menteri Kewangan, Dato’ Seri Ahmad Maslan.

Menurut Razali juga, rakyat di Pantai Timur terutama Terengganu dan Kelantan dilanda banjir begitu teruk sekarang yang perlu diberi bantuan.

Sehubungan itu, katanya peruntukan itu penting bagi senator yang tiada kedudukan dalam kerajaan bagi membantu rakyat.

“Ini kerana senator yang ada jawatan dalam kerajaan sudah ada peruntukan khas,” katanya.

Cadangan Razali turut disokong oleh Senator Arman Azha Abu Hanifah yang mewakili BN untuk membantu rakyat yang terjejas akibat banjir terutama di Pantai Timur. – HARAKAHDAILY 21/12/2022

- Advertisement -