Paling ramai mangsa banjir di Kelantan, Terengganu

Menteri Besar Kelantan, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob, melawat keadaan banjir di Pengkalan Kubor.
- Advertisement -

KOTA BHARU: Biarpun keadaan cuaca di Kelantan agak redup dengan sekali sekala kelihatan cahaya matahari, namun masih ramai lagi mangsa banjir yang berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di beberapa jajahan.

- Advertisement -

Paling ramai mangsa banjir dipindahkan setakat tengah hari ini di Rantau Panjang, Pasir Mas, Tumpat, Pasir Puteh dan Kota Bharu.

Jumlah mangsa banjir tertinggi direkodkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Rantau Panjang seramai 1,503 orang, SK Gual Tinggi (1,479), SK Tok Deh (1,471).

Selain itu SK Cherang Ruku Pasir Puteh (730), Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Panglima Raja Pasir Mas (737) dan SK Pengkalan Kubor 2 (524).

Petang ini Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim dijangka melawat mangsa banjir di SMK Tengku Panglima Raja Lemal, Pasir Mas.

Perkara itu turut dimaklumkan Timbalan Menteri Kewangan, Dato’ Seri Ahmad Maslan pada sidang Dewan Negara pagi tadi.

Menteri Besar Kelantan Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob dan anggota Exco kerajaan negeri Wan Roslan Wan Hamat pula meninjau lokasi banjir di Pengkalan Kubor hari ini.

Keadaan rumah yang di kawasan dilanda banjir di Kelantan

Jumlah keseluruhan mangsa banjir di lima negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor dan Perak sehingga sekarang seramai 71,222 orang daripada 20,316 keluarga.

Paling ramai jumlah mangsa yang dipindahkan di Terengganu seramai 39,412 orang daripada 10,924 keluarga.

Jumlah paling ramai mangsa banjir di Terengganu ditempatkan di PPS SK Bukit Montok, Kemamang 1,180 orang, SK Banggol Peradong (945), Masjid Lama Permaisuri (697), SK Darau Besut (655), SK Tok Jembal Kuala Nerus (503) dan SK Kemasik Kemaman (472).

Manakala jumlah mangsa banjir di Pahang pula seramai 179 daripada 49 keluarga ditempatkan di dua PPS, Perak (54 orang) di dua PPS dan Johor 48 orang (2 PPS). – HARAKAHDAILY 21/12/2022

- Advertisement -