
KUALA TERENGGANU: Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim mengucapkan terima kasih kepada para penyumbang ‘tin milo’ yang secara istiqamah menyumbang bagi membantu gerak kerja sepanjang Pilihan Raya Umum ke-15, baru-baru ini.
Katanya, setiap aktiviti parti adalah daripada ‘tin milo’ ahli-ahli PAS.
“Jika ditanya dari mana PAS memperolehi dana bagi melaksanakan setiap aktiviti dan program, kami tidak malu untuk menyatakan bahawa ianya adalah daripada ‘tin milo’ ahli-ahli kami.
“Duit PAS adalah daripada kocek ahli-ahli kami sendiri,” ujarnya pada Majlis Keraian Petugas Jawatankuasa Kempen Calon PRU15 di Wakaf Beruas, di sini malam tadi.
Beliau juga menzahirkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT di atas kemenangan yang telah dicapai pada pilihan raya kali ini.
Ini, katanya merupakan kemenangan bagi seluruh jentera pilihan raya, petugas parti, para pendukung serta penyokong PAS Kuala Terengganu khususnya dan kepada parti itu sendiri amnya.
“Kemenangan ini merupakan manifestasi kepada kehendak seluruh rakyat Malaysia yang menginginkan sebuah kerajaan yang prihatin, bersih dan stabil yang berasaskan kepada keyakinan dengan meletakkan Islam sebagai panduan,” ujarnya.
Menurutnya, jentera yang disusun pada PRU15 merupakan jentera yang terbaik dari semua peringkat bermula dari yang atas hinggalah di bawah.
“Tanpa sokongan, dorongan serta pengorbanan para amilin ini, ditambah dengan usaha yang tidak mengenal erti penat lelah dan jemu sepanjang masa berkempen, dan dengan munajat serta keyakinan pertolongan Allah bersama kita, mana mungkin kita mampu memperolehi kemenangan dengan majoriti sebanyak 40,907 undi,” katanya.
Ahmad Amzad berkata, walaupun pada ketika ini PERIKATAN NASIONAL bukan sebahagian daripada kerajaan persekutuan tetapi beliau akan melaksanakan tanggungjawab di peringkat parlimen dengan penuh dedikasi untuk memberi perkhidmatan yang terbaik kepada seluruh rakyat Kuala Terengganu. – HARAKAHDAILY 12/12/2022




















