
PASIR PUTEH: Tidak sampai sebulan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH)-BN) menerajui Putrajaya mulai muncul pelbagai tuntutan NGO bukan Melayu.
Setiausaha Majlis Syura Ulamak PAS, Dato’ Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, situasi yang berlaku sekarang mengulangi apa yang pernah muncul ketika pentadbiran 22 bulan kerajaan PH sebelum ini.
Katanya pelbagai tuntutan dibuat sehingga kelihatan melangkaui sempadan undang-undang yang ada sekarang.
“Perkara itu kalau dibiarkan boleh mencetuskan perkara negatif dalam masyarakat pelbagai kaum di negara ini,” katanya ketika ditemui di sini.
Baru-baru ini media melaporkan pertubuhan Dong Zong menggesa kerajaan PH-BN mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dan memberi peruntukan secara kekal kepada sekolah aliran persendirian Cina.
Menurut laporan sebuah akhbar berbahasa Cina, mesyuarat bersama Dong Zong kali ke-93 sebulat suara menggesa Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengiktiraf UEC dan menginstitusikan Sekolah Menengah Persendirian Cina secepat mungkin.
Malah Felo Majlis Profesor Negara, Prof Emeritus Dato’ Dr Teo Kok Seong sebelum ini dilapor berkata, mana-mana parti politik yang mahu mengiktiraf sijil UEC disifatkan sebagai tindakan politik sempit dan rakus.
Katanya, parti politik terbabit tidak memikirkan tentang negara serta kesan pengiktirafan itu kepada generasi akan datang.
Dr Nik Zawawi yang juga Ahli Parlimen Pasir Puteh berkata, dalam tempoh singkat ada NGO mengulangi semula agenda lama yang diperjuangkan ketika pentadbiran PH pada 2018.
“Wujud kecelaruan sekiranya kerajaan PH-BN tidak tegas menolak tuntutan tersebut. Dakwaan banyak pihak sebelum ini akan berulang peristiwa 22 bulan ketika pentadbiran kerajaan PH, benar-benar berlaku sekarang,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 12/12/2022




















