
KANGAR: Kehadiran Dato’ Seri Dr Shahidan Kassim sebagai calon PERIKATAN NASIONAL (PN) di kerusi parlimen Arau dijangka memberi impak besar kepada suasana politik di Perlis.
Pengerusi PN Perlis, Mohd Shukri Ramli berkata, kehadiran bekas Menteri Besar Perlis itu dapat membantu misi PN untuk menawan Perlis pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, 19 November ini.
Katanya desas desus bekas Ketua Umno Bahagian Arau dicalonkan di Parlimen Arau mewakili PN akhirnya terjawab.
“Semua calon PN sedia membuat perubahan khususnya di Perlis dan peringkat negara 19 November ini.
“InsyaAllah akan lahir Perlis Baharu selepas ini. Kita perlu buat perubahan di Perlis. Oleh itu saya mengajak seluruh rakyat Perlis dan negara untuk sama-sama membuat perubahan.
“Perubahan wajib dibuat memandangkan kita semakin menuju ke arah korupsi, ekonomi negara yang melimpah disonglap dengan sebegitu rupa sehingga menyebabkan rakyat dalam keadaan sukar,” katanya pada majlis pengumuman calon PN di Kompleks PAS (KOMPAS) di sini malam tadi.
Selain Shahidan, PN mengumumkan dua lagi calon kerusi Parlimen iaitu Rushdan Rusmi (Padang Besar) dan Zikri Hassan (Kangar).
Bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Izizam Ibrahim (Titi Tinggi), Haziq Asyraf (Beseri), Saad Seman (Chuping), Wan Badariyah Wan Saad (Mata Ayer) dan Mohd Azmir Azizan (Santan).
Turut dicalonkan Fakhrul Anwar Ismail (Bintong), P. Pramoot (Indera Kayangan), Abu Bakar Hamzah (Kuala Perlis), Megat Hashirat Hassan (Pauh), Wan Zikri Afthar Ishak (Tambun Tulang) dan Razali Saad (Simpang Empat).
Guar Sanji dan Sanglang mengekalkan calon yang sama iaitu Redzuan Hashim dan Mohd Shukri. – HARAKAHDAILY 4/11/2022




















