
MARANG: “Oleh kerana saya bertanding di Arau, saya akan gempur Arau habis-habisan,” kata penyandang kerusi Parlimen Arau, Dato’ Seri Shahidan Kassim.
Beliau diumumkan akan bertanding atas tiket PERIKATAN NASIONAL (PN) bagi mempertahankan kerusi Parlimen Arau oleh Timbalan Pengerusi PN yang juga Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.
“Terima kasih kepada seluruh pimpinan PN termasuk Tuan Guru Abdul Hadi kerana memberi kepercayaan kepada saya untuk bertanding di Parlimen Arau,” katanya yang baru sahaja tiba sebaik dimaklumkan untuk hadir ke Majlis Pengisytiharan Calon PAS Terengganu PRU15, di Dewan Tok Guru, Rusila, di sini, malam tadi.
Turut berucap ialah Pesuruhjaya PAS negeri, Senator Dato’ Husain Awang, Pengerusi Bersatu negeri, Senator Dato’ Razali Idris dan Pengerusi Gerakan negeri, Wong Kim Su.
Shahidan yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata, beliau tidak gentar untuk berhadapan dengan mana-mana wakil parti yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) nanti.
“Siapa yang nak datang mencuba silakan, tidak ada masalah, saya kata sekali saya sudah masuk gelanggang, saya nak menang,” katanya.
Shahidan juga memaklumkan faktor beliau memutuskan untuk bersama PN disebabkan Presiden Umno, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga penyandang kerusi Parlimen Bagan Datuk, bersikap tidak jujur apabila mengubah namanya daripada bertanding tanpa mengikut keputusan ‘top-5’.
“Nama saya sudah diserahkan kepada Top-5, tetapi Ahmad Zahid gagal mengikut keputusan dan penipu apabila mengubah senarai calon yang sudah diputuskan,” katanya ketika berucap ringkas pada majlis itu.
Selain Shahidan, penyandang kerusi Parlimen Maran, Dato’ Seri Ismail Abd Muttalib, yang juga digugurkan BN, turut diumumkan mewakili PN bertanding mempertahankan kerusi itu.
Pada majlis itu, Pengerusi PERIKATAN NASIONAL Negeri Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengisytiharkan bakal calon-calon yang akan bertanding di lapan Parlimen negeri ini.
Mereka terdiri daripada enam penyandang iaitu Tuan Guru Abdul Hadi Awang di Marang, Datuk Ahmad Amzad Hashim (Kuala Terengganu), Ustaz Wan Hassan Mohd Ramli (Dungun), Ustaz Che Alias Hamid (Kemaman), Ustaz Shaharizukirnain Abdul Kadir (Setiu) dan Dato’ Rosol Wahid (Hulu Terengganu).
Dua muka baharu ialah Exco kerajaan negeri Dato’ Dr Alias Razak di Parlimen Kuala Nerus dan Dato’ Che Mohamad Zulkifly Jusoh (Besut). – HARAKAHDAILY 4/11/2022




















