PRU15: Ada lagi pemimpin BN akan sertai PN

- Advertisement -

MARANG: Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, ada lagi dalam kalangan pemimpin Barisan Nasional (BN) yang berminat untuk menyertai PERIKATAN NASIONAL.

- Advertisement -

“Ya ada lagi, ada lagi, sedang dalam proses,” ujarnya pada sidang media selepas Majlis Pengisytiharan Calon PAS Terengganu PRU15 di Dewan Tok Guru, Rusila, malam tadi.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan jumlah kerusi yang akan ditandingi oleh mereka.

“Saya tak boleh beritahu berapa kerusi. Apa yang penting ada di utara, ada di tengah, ada di selatan,” ujarnya yang diisytiharkan bertanding di Parlimen Marang.

Semasa ditanya bila akan diumumkan, beliau yang juga Timbalan Pengerusi PERIKATAN NASIONAL berkata,”…nantilah nama calon hari Sabtu”.

Tuan Guru Abdul Hadi juga ditanya mengenai Dato’ Seri Shahidan Kassim yang diumumkan sebagai calon PERIKATAN NASIONAL pada PRU15.

“Beliau dari awal lagi bersama dengan kita di Parlimen. Kerjasama di Parlimen daripada awal lagi dan beliau menunjukkan keberanian mengkritik presiden Umno, dengan itu dia diambil tindakan secara terbuka,” jelasnya.

Tambahnya, PAS juga menyedari pengaruh Shahidan bukan sahaja di Arau tetapi DUN-DUN di Perlis dan parti itu juga mempunyai perancangan untuk menawan negeri itu pada PRU kali ini.

Tuan Guru Abdul Hadi turut mengumumkan penyandang kerusi Parlimen Maran, Dato’ Seri Dr Ismail Abd Muttalib sebagai calon PERIKATAN NASIONAL pada PRU15.

Shahidan adalah Menteri Wilayah Persekutuan sementara Ismail adalah Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Pada majlis itu, Pengerusi PERIKATAN NASIONAL Negeri Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengisytiharkan bakal calon-calon yang akan bertanding di lapan Parlimen negeri ini.

Mereka terdiri daripada enam penyandang iaitu Tuan Guru Abdul Hadi Awang di Marang, Datuk Ahmad Amzad Hashim (Kuala Terengganu), Ustaz Wan Hassan Mohd Ramli (Dungun), Ustaz Che Alias Hamid (Kemaman), Ustaz Shaharizukirnain Abdul Kadir (Setiu) dan Dato’ Rosol Wahid (Hulu Terengganu).

Dua muka baharu ialah Exco kerajaan negeri Dato’ Dr Alias Razak di Parlimen Kuala Nerus dan Dato’ Che Mohamad Zulkifly Jusoh (Besut). – HARAKAHDAILY 4/11/2022

- Advertisement -