Ambil tindakan tegas terhadap pengkhianat, anasir asing

- Advertisement -

KERAJAAN wajar mengambil langkah segera dan tegas serta mengetatkan kawalan keselamatan negara terhadap sebarang anasir asing yang cuba menggangu-gugat keselamatan dan kestabilan negara berikutan tindakan agen perisikan regim zionis Israel Mossad yang merancang penculikan warga Palestin di Kuala Lumpur baru-baru ini.

- Advertisement -

Ia adalah insiden tragis kedua yang melibatkan warga Palestin yang mana pada 21 April 2018 Fadi Mohammad al Batsh, seorang pensyarah warga Palestin di UNIKL telah ditembak mati berhampiran kediamannya di Kuala Lumpur yang terbukti dilakukan oleh Mossad dan talibarutnya.

Lebih memeranjatkan adalah dakwaan bahawa dalang disebalik penculikan tersebut adalah rakyat tempatan yang telah direkrut oleh Mossad untuk menjadi agennya dan menjalankan operasi bagi pihak Mossad di dalam negara.

Oleh itu, Kerajaan wajar mengambil tindakan tegas dan mencari saki baki “pengkhianat“ negara yang menjadi tali barut kepada agensi perisikan regim zionis Israel iaitu Mosaad untuk didakwa dan dihadapkan ke muka pengadilan.

PAS mengucapkan syabas dan tahniah kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana dengan kecekapan dan ketangkasan warga PDRM telah berjaya mematahkan gerakan penculikan tersebut dalam masa yang cukup singkat.

Malaysia adalah antara negara utama yang mendokong pembebasan dan kemerdekaan Palestin serta warganya daripada penjajahan kejam regim zionis Israel. Palestin dan warganya perlu terus dibela dan sewajarnya insiden terkutuk dan “pencerobohan“ oleh anasir asing ini perlu dikecam dan dihentikan.

Malaysia Sejahtera.

YB DR MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Lajnah Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat.
ADUN Batu Buruk. – HARAKAHDAILY 19/10/2022

- Advertisement -