PAS bantu calon Bersatu pertahan kerusi parlimen

- Advertisement -

Oleh ASLANI M | Foto CHAN MANZIL

KOTA BHARU:
PAS Kelantan akan membantu kempen pemimpin Bersatu di peringkat parlimen di negeri itu memandangkan mereka akan bertanding menggunakan lambang PAS.

- Advertisement -

Pengarah Jabatan Pilihan Raya Negeri Zulkifli Mamat berkata, jentera pilihan raya PAS akan membantu calon Bersatu di peringkat parlimen atas nama Perikatan Nasional (PN).

Katanya baru-baru ini pimpinan PN Pusat mempersetujui calon Bersatu bertanding menggunakan logo PAS di Kelantan, Terengganu dan Kedah.

“InsyaAllah jentera pilihan raya PAS akan membantu calon Bersatu memandangkan mereka bertanding menggunakan logo PAS di Kelantan,” katanya di sini hari ini.

Sebelum itu beliau hadir pada program solat hajat dan taujihat petugas penerangan PAS Kelantan di Media Point di sini hari ini.

Turut diadakan solat hajat yang diimamkan Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kelantan Wan Roslan Wan Hamat.

Hadir sama Timbalan Exco kerajaan negeri Ahmad Fathan Mahmood dan Setiausaha Lajnah Penerangan dan Media Baharu PAS Kelantan Wan Zulkeflee Wan Muhammad.

Bersatu sebelum ini mempunyai dua ahli parlimen di Kelantan iaitu Dato’ Seri Mustapa Mohamed di parlimen Jeli dan Dato’ Seri Ikmal Hisyam Abdul Aziz di Tanah Merah.

Semalam Timbalan Presiden PAS Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man pada temubual bersama Harakah memberitahu tiga negeri yang diterajui PAS sekarang kekal menggunakan logo PAS pada PRU15.

Zulkifli juga berkata, berdasar persetujuan sebelum ini penentuan kerusi yang akan ditandingi berdasar status quo dengan mengambil kira keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) lepas.

Menurutnya di kawasan yang dimenangi BN akan ditandingi calon dari Bersatu, manakala PAS mempertahankan kerusi yang sedia ada.

Wan Roslan pula berkata, PAS Kelantan merakam penghargaan kepada pimpinan PN Pusat kerana memberi laluan kepada calon PN di Kelantan menggunakan lambang bulan.

Oleh itu katanya, PAS akan memanfaatkan kekuatan jentera yang ada bagi membantu kempen calon Bersatu termasuk di Jeli dan Tanah Merah pada PRU kali ini. – HARAKAHDAILY 14/10/2022

- Advertisement -