Gol tunggal Saka kecewakan Bodø/Glimt

Bukayo Saka kini menjadi penyerang berbisa Arsenal
- Advertisement -

Susunan ZIAUDDIN SHARUDDIN

Arsenal semakin menghampiri mara ke peringkat kalah mati Liga Europa dengan kemenangan tipis di Bodo/Glimt.

Kemenangan menerusi kombinasi mantap penyerang, Bukayo Saka dan pemain tengah, Albert Sambi Lokonga, dengan rembatan Saka terkena kaki pemain pertahanan sebelum memantul ke belakang dan melepasi penjaga gol yang hanya mampu melihat bola memasuki gawang.

- Advertisement -

Bodo/Glimt yang berbekalkan 14 kemenangan berturut-turut di gelanggang sendiri, cukup bersemangat dengan sokongan padu penyokong, tetapi terlepas beberapa peluang keemasan.

Gelanggang padang tiruan di Norway yang jauh berbeza berbanding padang rumput cantik di Arsenal, memaksa Granit Xhaka dan Gabriel Martinelli dimasukkan selepas sejam, tetapi kemenangan tipis, selain dapat merehatkan penyerang utama Gabriel Jesus dan pertahanan Gabriel, sudah memadai buat Pengurus Arsenal, Mikel Arteta.

Kemenangan itu membolehkan Arsenal meraih lima mata, manakala Bodo/Glimt berada di tempat ketiga kerana bermain lebih satu perlawanan berikutan perlawanan The Gunners menentang PSV Eindhoven, bulan lalu ditangguhkan berikutan kemangkatan Ratu Elizabeth II.

Perlawanan dengan PSV yang kini di tempat kedua dijadual semula Khamis depan. Kemenangan dalam perlawanan itu akan menjamin kemaraan Arsenal.

Saka mengagumkan ketika kemenangan 3-2 The Gunners ke atas Liverpool dalam Liga Perdana, Ahad lalu dan keyakinannya terserlah ketika beraksi di Norway.

Serawal permainan, dia menyusup ke belakang pertahanan Bodo/Glimt dan merembat melintasi kotak enam ela, tetapi tidak sempat disudahkan oleh Eddie Nketiah dan Reiss Nelson.

Namun pemain berusia 21 tahun itu tidak mengenal penat lelah dan sedikit demi sedikit larian bertenaganya membuka pertahanan tuan rumah.

Arteta melakukan lima perubahan daripada pasukan yang menang 3-0 terhadap Bodo/Glimt di tempat sendiri, minggu lalu, dan tujuh daripada pasukan yang menewaskan Liverpool.

Namun, keputusan dan keazaman yang mereka tunjukkan untuk mengekang Bodo/Glimt pada babak kedua perlawanan adalah satu lagi contoh yang lebih sukar dan sisi berdisiplin dibentuk oleh pengurus Sepanyol itu.

Pemain pertahanan, Rob Holding, membuat pemintasan berkesan pada separuh masa pertama, manakala Lokonga menyempurnakan 97 peratus hantarannya dan membuat lebih banyak pintasan berbanding pemain Gunners lain.

Arsenal yang menjadi pendahulu Liga Perdana menyebabkan Arteta berusaha untuk mendapat tempat teratas seawal mungkin bagi menggilirkan pemain dan mengelakkan pusingan play-off tambahan pada Februari.

- Advertisement -