
Oleh SYAHIRAH SALLEH
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menaikkan elaun sara hidup bagi pelajar MARA, PETRONAS serta tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata tajaan JPA bagi pelajar dan pegawai dalam negara juga akan diseragamkan dan dinaikkan sebanyak RM100 sebulan bagi semua peringkat pengajian.
Katanya, dengan kenaikan itu, jumlah elaun sara hidup tajaan JPA akan menjadi antara RM730 hingga lebih RM980 sebulan.
“Secara keseluruhan, RM3.8 bilion disediakan sebagai biasiswa dan pinjaman pendidikan bagi manfaat anak bangsa.
“Atas keprihatinan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri (Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob), elaun sara hidup bagi pelajar MARA dan PETRONAS telah dinaikkan,” katanya ketika pembentangan Bajet 2023 di Dewan Rakyat, hari ini.
Menurut Tengku Zafrul, pencapaian pendidikan tinggi negara terus membanggakan pada mata global.
Justeru katanya, bagi tahun hadapan, Kementerian Pengajian Tinggi akan diperuntukkan sejumlah RM15.1 bilion atas komited kerajaan untuk memastikan anak-anak Keluarga Malaysia meneruskan pengajian hingga ke menara gading. – HARAKAHDAILY 7/10/2022




















