
Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN
KUALA LUMPUR: Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) 2023 yang ditambah baik dengan ketara akan memberi manfaat kepada 8.7 juta penerima dengan peruntukan RM7.8 bilion.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata pada tahun hadapan, isi rumah berpendapatan bulanan kurang RM2,500 dan menanggung lima orang anak atau lebih, layak menerima BKM sebanyak RM2,500.
Katanya, ini ialah kategori baharu sebagai usaha kerajaan meringankan beban keluarga yang menyara ramai anak, manakala bagi isi rumah sehingga empat orang anak akan layak menerima BKM antara RM1,000 hingga RM2,000.
“Kepada isi rumah berpendapatan RM2,500 hingga RM5,000, BKM yang disediakan adalah antara RM500 hingga RM1,250 bergantung kepada bilangan anak.
“Bagi warga emas yang tiada pasangan serta golongan bujang pula, mereka akan terus menerima BKM masing-masing sebanyak RM600 dan RM350 ringgit bergantung kepada had pendapatan tertentu,” katanya ketika membentangkan Bajet 2023 di Dewan Rakyat, hari ini.
Tengku Zafrul berkata, bantuan tambahan RM500 kepada ibu atau bapa tunggal yang mempunyai anak tanggungan akan diteruskan pada 2023.
Sehubungan itu, katanya ini bermakna, ibu atau bapa tunggal layak menerima bantuan maksimum sehingga RM3,000 dengan kadar BKM maksimum meningkat berbanding RM2,500 pada tahun ini.
“Misalnya, pasangan Firdaus dan Nor Aliza dari Pasir Gudang yang mempunyai lima orang cahaya mata telah menerima BKM sebanyak RM2,000 tahun ini. Tahun hadapan, mereka layak menerima BKM RM2,500.
“Ling Mee Hoon pula seorang ibu tunggal dari Sitiawan yang membesarkan tiga orang anak mendapat BKM RM1,300 tahun ini dan layak menerima BKM RM1,500 pada tahun 2023,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/10/22











