
Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN
KUALA LUMPUR: Sebanyak 89,798 kes penipuan dalam talian dilaporkan di seluruh negara sejak 2017 hingga Jun tahun ini yang membabitkan kerugian mencecah RM30 bilion.
Timbalan Menteri Dalam Negeri I, Datuk Seri Ismail Mohamed, berkata ini yang menyebabkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) sangat memandang serius isu berkaitan penipuan dalam talian kerana membabitkan jumlah kerugian yang besar dan sedikit sebanyak mempengaruhi ekonomi negara.
Katanya, penipuan jenayah dalam talian dikategorikan seperti Macau Scam, Love Scam, African Scam, Belian Online, Tipu Pinjaman Tidak Wujud dan juga Tipu SMS.
“Berdasarkan statistik, Belian Online mencatatkan kes tertinggi berbanding kes lain, iaitu sebanyak 32,791 kes,” katanya menjawab soalan Datuk Zakaria Mohd Edris (Bersatu-Libaran) ketika sesi jawapan bagi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Ismail berkata, pelbagai usaha dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengekang sindiket penipuan, termasuk meningkatkan penguatkuasaan undang-undang, operasi, tangkapan dan mendakwa mereka yang terbabit dalam penipuan.
Bagi tempoh antara 2017 hingga Jun lalu, katanya sebanyak 42,884 tangkapan dilakukan dan sebanyak 25,891 pertuduhan dilaksanakan.
Selain tindakan penguatkuasaan undang-undang, katanya PDRM mengambil inisiatif dengan meningkatkan pengetahuan dan kesedaran di kalangan masyarakat berhubung jenayah dalam talian melalui kempen kesedaran.
Beliau berkata, PDRM juga menjalinkan kerjasama dengan agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) supaya jenayah ini dapat dihebahkan dan masyarakat mendapat maklumat berhubung modus operandi terkini penjenayah terbabit..
“PDRM turut mewujudkan satu platform akaun Facebook “Cyber Crime Alert Royal Malaysia Police” bagi berkongsi maklumat dan memberi amaran kepada orang ramai mengenai ancaman penipuan jenayah atas talian ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 19/7/22




















