
Oleh SYAHIRAH SALLEH
KUALA LUMPUR: Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun, melahirkan rasa sedih dengan kekecohan pada hari pertama Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Majlis Parlimen ke-14 Dewan Rakyat yang menyebabkan Ahli Parlimen Kota Belud, Isnaraissah Munirah Majlis, dikenakan penggantungan dua hari.
Menurutnya, kekecohan yang berlaku semalam amat menyedihkan setelah melihat dua Bentara terpaksa menunggu dan berdiri selama 40 minit disebabkan kejadian itu.
“Saya lihat Bentara dua orang, muda mudi kita yang bekerja di Parlimen, berdiri di situ selama 40 minit, tidak dihormati langsung.
“Tidak hormat saya tidak mengapa, saya Speaker (Yang Dipertua), I can take it (saya boleh terimanya), itu hidup saya, tugas saya. Tetapi hormatlah muda-mudi kita yang bekerja sebagai Bentara, mereka bekerja sahaja. Berdiri di situ tanpa dihormati,” katanya.
Azhar berkata, tidak salah untuk Ahli Parlimen menyuarakan pendapat di Dewan Rakyat, namun lunas dan adab perlu dijaga.
“Tidak hormati saya tidak mengapa. Saya sudah dewasa dan semakin mendekati kematian. Namun mereka yang bekerja dengan kita sebagai Bentara, apa sahaja kuasa dia, dia berdiri di situ 40 minit, tidak diendahkan,” katanya.
Beliau melahirkan kesedihan itu di Dewan Rakyat, hari ini, ketika menjawab persoalan yang dibangkitkan Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli, sama ada penggantungan dua hari yang dikenakan kepada Isnaraissah masih berkuat kuasa atau sebaliknya.
Menurutnya, penggantungan dua hari itu tidak boleh ditarik balik kerana Isnaraissah tidak memenuhi syarat yang ditetapkan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Dato’ Mohd Rashid Hasnon, supaya Ahli Parlimen Kota Belud, duduk dan membiarkan prosiding diteruskan dengan lancar.
“Saya tiada semasa kejadian, tetapi saya melihat melalui monitor. Sefaham saya, Timbalan Yang Dipertua mengatakan bahawa beliau bersetuju untuk menarik balik jika Kota Belud duduk dan membiarkan prosiding diteruskan. Tetapi, syarat itu tidak dipenuhi, jadi tidak ditarik balik,” katanya.
Berdasarkan Erskine May (Peraturan Mesyuarat), katanya sebarang perintah Yang Dipertua mengenai Peraturan 18 2 tidak boleh dibahaskan, selain Ahli Parlimen lain tidak dibenarkan untuk campur tangan.
“Tidak percaya? Saya boleh fotostat bagi sekarang juga. Tetapi, pihak pembangkang dan pihak kerajaan juga selalu menyuarakan Erskine May. Mengapa kita tidak ikut apabila saya menyatakan Erskine May begitu?
“Jadi, janganlah kita ikut apabila Erskine May menyokong kita sahaja. Apabila saya buat ruling (keputusan), kita ikutlah ruling itu,” tegasnya.
Menurut Azhar, jika Ahli Parlimen pembangkang tidak berpuas hati dengan keputusan Yang Dipertua Dewan Rakyat menolak sesuatu usul, mereka mempunyai alternatif lain dengan mengikut prosedur tertentu untuk memfailkan usul berkenaan disemak semula.
Ahli Parlimen Kota Belud diarah keluar Dewan Rakyat dan digantung dua hari berikutan tindakannya mempersoal usul yang ditolak berhubung tuntutan Sulu. Arahan itu dikeluarkan Mohd Rashid selepas menggantikan Azhar yang mempengerusikan majlis ketika itu. – HARAKAHDAILY 19/7/22




















