PRU15: Ramalan Daim bakar semangat PAS

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

KOTA BHARU:
PAS berharap ramalan ahli politik veteran, Tun Daim Zainuddin yang menjangka parti itu mampu memenangi lebih banyak kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menjadi kenyataan.

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, penyertaan PAS dalam kerajaan hari ini memberi impak sangat besar dalam merubah tanggapan serta persepsi rakyat terhadap parti itu.

Namun beliau berkata, kenyataan tersebut tidak membuatkan PAS berpuas hati dengan gerak kerja yang dilakukan, malah ramalan itu sebagai satu pembakar semangat untuk terus bekerja bagi kesejahteraan rakyat.

- Advertisement -

“Kita harus bekerja keras dan ahli parti mesti tunjuk contoh terbaik dalam konteks kekuatan parti kita. Saya rasa dalam kemelut politik yang tidak stabil sekarang, PAS dilihat lebih stabil.

“Kita tiada masalah dalam pemilihan parti musim pilihan raya ke, selepas ke, kita berjalan ikut jadual dan kita tiada team rebut jawatan dalam parti rebut, ini pendedahan baik kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Jamuan Rakyat Aidiladha Parlimen Kubang Kerian di ruang legar Masjid at Taqwa Bandar Satelit Pasir Tumboh di sini, semalam.

Tuan Ibrahim yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air berkata, keberadaan PAS dalam kerajaan yang diketuai Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob serta prestasi kerajaan negeri di bawah pentadbiran PAS turut memberi kesan sama.

Katanya, lebih 30 tahun PAS memerintah Kelantan serta kejayaan pentadbiran di Terengganu dan Kedah sedikit sebanyak mengubah tanggapan rakyat terhadap kemampuan PAS.

“Penyokong PAS hendaklah bekerja keras. Saya rasa PAS punya masa depan yang cerah dengan kejayaan yang ditunjukkan oleh pimpinan dan ahli kita sendiri.

“Ini merupakan pendedahan terhadap penerimaan rakyat, mereka boleh menilai kerajaan Kelantan, Terengganu, Kedah, kerajaan Pusat sehingga sebahagian rakyat mula mengenali PAS,” katanya.

Daim sebelum ini meramalkan PAS akan memperolehi kejayaan dan kemenangan besar dalam PRU15 ekoran perpecahan yang berlaku dalam Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (BN). – HARAKAHDAILY 13/7/2022

- Advertisement -