Teman lelaki wanita hina Islam turut ditahan

Polis tahan suspek wanita hina Islam dan teman lelakinya.
- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Polis turut menahan teman lelaki kepada wanita yang disyaki menghina Islam ketika membuat persembahan di sebuah kelab komedi di Taman Tun Dr Ismail.

Setiausaha Polis Malaysia, Deputi Komisioner Dato’ Noorsiah Mohd Saaduddin, berkata Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, menahan lelaki terbabit, semalam.

- Advertisement -

Menurutnya, polis mendapat perintah tahanan reman untuk siasatan lanjut terhadap lelaki terbabit selama tiga hari, mulai hari ini sehingga Rabu ini.

Sementara itu mengenai suspek wanita yang ditahan Sabtu lalu, katanya permohonan sambung tahanan reman akan dibuat memandangkan tempoh reman terhadapnya akan tamat esok.

“Kertas siasatan akan segera dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara dengan cadangan pertuduhan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Suspek wanita terbabit disiasat mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan, iaitu atas alasan agama yang boleh menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci membenci atau niat jahat atau memudaratkan pemeliharaan keadaan harmoni atau perpaduan.

Polis juga menyiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

Dalam video selama 54 saat dengan tajuk “acara menghina Islam?” yang tular di media sosial, seorang wanita menanggalkan pakaian dan tudungnya di hadapan penonton. Sebelum itu, dia mengaku sebagai orang Melayu beragama Islam, malah hafaz ayat al-Quran.

Perbuatan wanita itu kemudiannya mendapat sorakan daripada penonton dalam kelab tersebut.

Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) pula menyiasat mengikut Seksyen 7 Akta 559 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 iaitu menghina atau menyebabkan dipandang hina dan lain-lain, yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – HARAKAHDAILY 11/7/22

- Advertisement -