
KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil tindakan serta merta menggantung sementara operasi premis sebuah kelab komedi di sekitar Taman Tun Dr Ismail di sini, susulan isu tular seorang wanita menghina kesucian agama Islam.
Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias, berkata DBKL telah menjalankan siasatan lanjut terhadap lesen premis tersebut, selain tidak akan sama sekali berkompromi dalam isu demikian.
“Isu ini turut mendapat kecaman daripada penduduk berhampiran dan pengguna di media sosial yang berpendapat, video tular tersebut jelas dan terang merupakan perbuatan bertujuan menghina serta mencemarkan imej agama Islam.
“Justeru, ini sebagai suatu mesej jelas bahawa Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) dan DBKL tidak akan sama sekali bertoleransi dengan apa jua aktiviti yang melanggar mana-mana sensitiviti melibatkan agama, bangsa dan kedaulatan negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sementara itu, beliau berharap insiden begini tidak akan berulang lagi di mana-mana premis dalam Wilayah Persekutuan mahu pun di seluruh negara.
“Sehubungan itu, operasi penguatkuasaan akan diteruskan dari semasa ke semasa, di samping laporan orang awam sentiasa diperlukan bagi memastikan perkara begini tidak berulang lagi,” katanya.
Dalam video selama 54 saat dengan tajuk “acara menghina Islam?” yang tular di media sosial, seorang wanita menanggalkan pakaian dan tudungnya di hadapan penonton.
Kejadian itu turut disiasat oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan, iaitu atas alasan agama yang boleh menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci membenci atau niat jahat atau memudaratkan pemeliharaan keadaan harmoni atau perpaduan.
PDRM turut menyiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.
Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) pula menyiasat mengikut Seksyen 7 Akta 559 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 iaitu menghina atau menyebabkan dipandang hina dan lain-lain, yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – BERNAMA 10/7/22




















