
ISLAM adalah agama yang suci. Suatu agama yang tidak sekadar dianuti bahkan diperintah agar ianya dipraktis dalam kehidupan ini. Justeru itu, Islam di sebut sebagai way of life atau minhaajul hayah.
Islam sebagai satu cara hidup yang mulia dan mendidik penganutnya agar berperilaku sopan dan menjaga sensitiviti beragama. Maka tidak sahaja Islam melarang penganutnya menghina agama lain, maka terlebih utama seorang Muslim diwajibkan memelihara maruah dan kesucian agama Islam yang dianutinya.
Tampil di khalayak dalam keadaan menutup aurat dan membuat pengakuan menghafal al Quran lalu di saat itu jua, dengan sengaja dan bangga ia meleraikan satu persatu pakaian luarnya sehingga separuh telanjang, adalah satu perbuatan mempersenda dan memperkecilkan Islam.
Ia bukan sahaja perbuatan yang mencabul harga diri individu yang terlibat, tetapi juga meluruhkan nilai mulia pada agama yang dianut serta mempalit rasa malu kepada seluruh umat Islam.
Siti Amira Natasya, sebagai individu terlibat perlu kembali kepada Islam. Bertaubat dari apa yang telah ia lakukan. Menginsafi bahawa ia adalah satu kesalahan besar di dalam agama.
Agama Islam bukan prop komedian yang boleh dilantun sesuka hati. Meskipun mendapat tepukan gemuruh dari audien, tindakan itu tidak boleh dinilai sebagai bahan lawak jenaka melainkan ia suatu perbuatan yang hina dan jijik kerana mempersendakan ajaran wahyu dari Tuhan Yang Maha Mencipta.
Demikian juga tindakan seorang content creator yang viral di Tik Tok tempoh hari apabila memuatkan content menarik tudung muslimah. Mempertaruhkan maruah seorang muslimah demi meraih rating di media sosial adalah satu tindakan yang keterlaluan dan wajib dihentikan.
Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) memperingatkan seluruh umat Islam agar berhati-hati dalam tindakan dan ucapan agar tidak terjebak dalam situasi yang boleh disifatkan sebagai menghina dan mempersenda agama suci ini.
Tidak sahaja berdepan dengan kemarahan umat Islam kerana agama mereka diperlekeh, bahkan ia berdepan dengan kemurkaan Allah SWT yang azabnya sangat dahsyat.
Hayatilah firman Allah SWT di dalam Surah Al Ana’am, ayat 70:
وَذَرِ الَّذِينَ اتَّخَذُوا دِينَهُمْ لَعِبًا وَلَهْوًا وَغَرَّتْهُمُ الْحَيَاةُ الدُّنْيَا
Dan jauhkanlah diri dari orang-orang yang menjadikan agama mereka sebagai permainan dan hiburan, dan mereka pula telah diperdayakan oleh kehidupan dunia.
وَذَكِّرْ بِهِ أَن تُبْسَلَ نَفْسٌ بِمَا كَسَبَتْ لَيْسَ لَهَا مِن دُونِ اللَّهِ وَلِيٌّ وَلَا شَفِيعٌ وَإِن تَعْدِلْ كُلَّ عَدْلٍ لَّا يُؤْخَذْ مِنْهَا
Dan peringatkanlah (mereka) dengan Al-Quran itu supaya tiap-tiap diri (di akhirat kelak) tidak terjerumus (ke dalam azab neraka) dengan sebab apa yang ia telah mereka lakukan (dari perbuatan yang buruk dan keji). Tidak ada baginya pelindung dan pemberi syafaat selain dari Allah. Dan jika ia hendak menebus (dirinya) dengan segala jenis tebusan, (nescaya tebusan itu) tidak akan diterima daripadanya.
أُولَٰئِكَ الَّذِينَ أُبْسِلُوا بِمَا كَسَبُوا لَهُمْ شَرَابٌ مِّنْ حَمِيمٍ وَعَذَابٌ أَلِيمٌ بِمَا كَانُوا يَكْفُرُونَ
Mereka itulah orang-orang yang dijerumuskan (ke dalam azab neraka) dengan sebab apa yang telah mereka lakukan. Bagi mereka disediakan minuman dari air panas yang menggelegak dan azab seksa yang tidak terperi sakitnya, disebabkan mereka kufur ingkar (semasa hidupnya).
NASRUDIN HASSAN
Yang Dipertua YADIM
10 Zulhijjah 1443 | 10 Julai 2022 – HARAKAHDAILY 10/7/2022




















