
KUALA LUMPUR: Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air Negeri Pahang antaranya akan menghapus kira pinjaman bekalan air luar bandar negeri itu berjumlah RM1 bilion.
Menurutnya, Majlis Menandatangani Perjanjian Tambahan kepada Perjanjian Utama Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air Negeri Pahang telah berlangsung di Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), semalam.
Beliau menambah, perjanjian tambahan itu membolehkan perjanjian utama yang telah dimeterai di Kuantan pada 23 Disember 2020 boleh dikuatkuasa lebih lancar.
“Implikasi penstrukturan ini antaranya akan menghapus kira pinjaman bekalan air luar bandar berjumlah RM1 bilion negeri Pahang,” katanya menerusi laman Facebook beliau, hari ini.
Di samping itu, ujarnya Pengurusan Air Pahang (PAIP) juga mendapat akses lebih baik kepada sumber pembiayaan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) untuk pembangunan aset, peningkatan kecekapan dan kualiti perkhidmatan kepada rakyat seperti pembinaan loji rawatan air (LRA), menaik taraf LRA sedia ada dan penggantian paip.
Beliau berkata, sudah tentu penstrukturan semula perkhidmatan air di Pahang akan memberi impak besar kepada kualiti hidup rakyat dan kemakmuran negeri.
Tuan Ibrahim uang juga Ahli Parlimen Kuang Kerian mengucapkan terima kasih kepada Menteri Besar Pahang, kerajaan negeri dan PAIP. – HARAKAHDAILY 27/4/2022




















