
KUALA LUMPUR: Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man telah menyempurnakan Majlis Perasmian dan Penyerahan Loji Rawatan Kumbahan Serantau, Batu Berendam, semalam.
Menurutnya, loji itu telah siap pada 25 November 2021 dan mampu merawat sisa kumbahan sehingga 126,000 meter padu sehari.
Katanya, loji itu mula menerima aliran kumbahan pertama sejak 13 Disember 2021 dan diunjur mencecah sehingga 80 peratus kapasiti reka bentuk apabila program rasionalisasi loji-loji kecil di dalam kawasan tadahan Batu Berendam disiapkan pada Jun 2022.
“Selain itu, loji ini menggunakan teknologi rawatan Extended Aeration (EA) dan mampu menepati pelepasan kualiti efluen kumbahan mencapai Standard A dan mematuhi Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kumbahan 2009),” ujarnya menerusi laman sosial.
Tambahnya, aplikasi teknologi hijau dalam reka bentuk digunakan secara optimim selaras dengan inisiatif di bawah Green Technology Master Plan 2017-2030.
“Pengoperasian dan penyelenggaraan loji ini diserahkan kepada IWK selaku agensi pengalaman dan memiliki kepakaran teknikal dalam sistem perkhidmatan pembetungan awam di Malaysia.
“Alhamdulillah, tahniah kepada semua!” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian. – HARAKAHDAILY 22/3/2022











