PATI dominasi kawasan tertentu di Sabah

- Advertisement -

Oleh AIZAL SAMSARUDDIN dan FAIZAH ARBAIN

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah perlu mengambil langkah mewujudkan pelan tindakan yang lebih komprehensif dalam usaha menangani isu setinggan dan pendatang asing tanpa izin (PATI).

Dr Aliakbar Gulasan berkata, sehingga sekarang kerajaan negeri nampak tidak begitu serius menangani isu tersebut memandangkan sasaran ‘setinggan sifar’ menjelang tahun 2015 tidak menjadi kenyataan.

- Advertisement -

“Tiada tindakan susulan yang dibuat selepas itu,” katanya ketika perbahasan ucapan perasmian Yang Dipertuan Negeri Sabah di Dewan Undangan Negeri Sabah semalam.

Menurutnya juga isu PATI menyebabkan masyarakat tempatan terpinggir, memandangkan ada kawasan tertentu penduduk tempatan menjadi minoriti dan PATI pun dominan.

Oleh itu kata beliau kerajaan perlu merangka pelan strategik yang komprehensif bagi menangani kawasan setinggan yang didiami PATI.

Sementara itu dalam perkembangan lain katanya agensi kerajaan disaran tidak menutup ruangan komen di Facebook supaya mereka lebih cakna terhadap luahan masyarakat dalam menangani isu-isu tempatan.

Beliau berkata, media sosial termasuk Facebook menjadi medan terbaik untuk agensi kerajaan meneliti keluhan disuarakan rakyat.

“Kerajaan negeri perlu mencontohi Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), yang sangat proaktif turun di kawasan yang dilapor berlaku masalah setelah dimuat di ruangan komen Facebook KASA,” katanya.

Menurut beliau juga laman Facebook atau media sosial lain boleh juga dijadikan ruang interaktif untuk menangani masalah rakyat. – HARAKAHDAILY 22/3/2022

- Advertisement -