Lebih 97,000 terima manfaat Skim Bencana Kerja Covid-19

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: Sebanyak 97,223 pekerja telah menerima manfaat daripada Skim Bencana Kerja berkaitan jangkitan Covid-19 setakat 12 Mac, tahun ini.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim berkata, jumlah itu adalah 77.98 peratus daripada keseluruhan permohonan iaitu sebanyak 124,979 permohonan dengan melibatkan pembayaran faedah berjumlah RM77.999 juta.

Katanya, pekerja yang pulih dari jangkitan Covid-19 boleh mendapat manfaat daripada usaha yang sedang dilaksanakan kerajaan menerusi Program JaminKerja Insentif Penggajian.

- Advertisement -

“Program ini adalah insentif kewangan yang diberikan kepada majikan yang membuat pengambilan baharu mulai 1 Januari tahun ini dalam kalangan perantis, graduan, golongan mudah terjejas termasuk OKU, bekas tentera, bekas banduan, warga emas serta penganggur am.

“Sehingga 4 Mac lalu, sebanyak 999 majikan melibatkan 2,757 pekerja telah memohon insentif penggajian di bawah program JaminKerja,” katanya menjawab soalan Senator Dato’ Juhanis Abd Aziz di Dewan Negara, hari ini.

Tambah Awang, Program JaminKerja-Insentif Penggajian akan diteruskan dengan pemberian insentif RM900 sebulan dalam tempoh enam bulan kepada majikan yang menggajikan golongan perantis lepasan sekolah dan graduan berumur 18 hingga 30 tahun dalam jawatan Eksekutif.

Katanya, golongan perantis ini akan ditawarkan kontrak 6 bulan dengan bayaran gaji pemula berjumlah RM1,500.

“Jumlah pekerja yang telah mendapat manfaat daripada Program Perantisan Jamin Kerja-Insentif Penggajian setakat 4 Mac 2022 adalah seramai 163 orang.

“Selain itu, kerajaan turut meluaskan Elaun Mencari Pekerjaan meliputi golongan yang tidak mencarum dengan PERKESO termasuklah graduan baharu, lepasan sekolah dan pekerja sektor tidak formal,” katanya.

Tambahnya, bagi mendapatkan elaun berkenaan berjumlah RM300 sebulan, pencari kerja perlu mendaftar dengan MyFutureJobs dan perlu menghadiri temuduga terbuka sekurang-kurangnya tiga kali dalam tempoh dua bulan.

Katanya lagi, jika pencari kerja kembali bekerja atau mendapat pekerjaan melalui MyFutureJobs, jumlah insentif sebanyak RM400 akan turut diberikan. – HARAKAHDAILY 22/3/2022

- Advertisement -